PETALING JAYA – Sindiket nikah Siam semakin aktif mempromosikan perkhidmatan mereka di media sosial termasuk memberi jaminan tauliah dan pakej menarik bagi memudahkan prosedur urusan pernikahan di negara jiran.
Walaupun banyak pembongkaran dan sisi gelap penawaran dilakukan, sindiket seolah-olah tidak gentar, malah makin galak menawarkan pakej-pakej hebat di media sosial sehingga mendapat puluhan ribu pengikut.
Tawaran pakej termasuk pengangkutan, wali, saksi dan dokumen dengan jaminan ‘lulus dan bertauliah’ dibuat sebagai umpan untuk menarik minat lelaki Malaysia yang mendapat halangan untuk menambah isteri supaya bernikah di sempadan Thai.
Menerusi beberapa hantaran di Facebook, pakej ditawarkan pada harga serendah RM900 hingga RM3,500 bergantung kepada jenis dokumen dan masalah pasangan.
Pakej itu khusus untuk pasangan poligami, warga asing atau kes wali tidak setuju.
“Pakej boleh didaftar di Malaysia, jangan risau, dijamin lulus dan bertauliah,” tulisnya menerusi hantaran iklan berkenaan.
Isu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang menganggap urusan perkahwinan kini seolah-olah boleh ‘dibeli’ dengan mudah secara dalam talian.
“Jika wali tidak setuju, tidak sah bernikah di sana. Jika balik daftar pun hakim akan panggil bapa dia, jika dalam mahkamah kata tidak setuju, hakim akan bubarkan perkahwinan. Hati-hati dengan hukum,” komen La az.
“Kalau isteri pertama setuju untuk bernikah lagi kenapa perlu ke Thailand? Nikah di sana akan mengundang masalah di masa akan datang kalau si suami malas nak daftarkan di Malaysia. Yang akan jadi mangsa isteri dan anak-anak nanti,” kata Rusmah Rusdi.
“Kalau wali pengantin perempuan tidak hadir, dan tidak berwalikan kada jurunikah, pernikahan tersebut tiada wali. Bila tiada wali, maka tidak cukup syarat dan rukun nikah. Jangan buat main dengan hukum macam ni,” komen Mohammad Nazrin.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara seperti Thailand boleh dianggap sah sekiranya memenuhi rukun dan syarat nikah dari segi hukum syarak.
Menurutnya, pernikahan itu sah sekiranya ia dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama di wilayah berkenaan dan pasangan berada lebih dua marhalah daripada wali sebenar.
Bagaimanapun, pasangan dinasihatkan mendapatkan surat kebenaran berkahwin di luar negara daripada Pejabat Agama Islam negeri masing-masing bagi mengelakkan kesukaran pendaftaran semula pernikahan di Malaysia.
Di bawah Seksyen 31(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pasangan yang berkahwin di luar negara perlu mendaftarkan perkahwinan mereka sebaik sahaja pulang ke tanah air.
Pejabat Mufti dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa wali merupakan rukun nikah yang wajib dipenuhi dan sekiranya pernikahan dilakukan tanpa wali sah, ia tidak sah menurut hukum syarak.
Sementara itu, peguam syarie, Mazidah Husain menjelaskan perkahwinan di Siam tanpa wali sah serta tidak didaftarkan di Malaysia boleh memberi kesan serius kepada hak isteri dan anak.
“Apabila berlaku keadaan begini, isteri tidak dapat menuntut hak dan suami pula tidak boleh menuntut hak jagaan anak. Anak pula tiada nasab dan tidak boleh menjadi waris kepada bapa sendiri,” jelasnya.














