SUKAN sepak takraw menunjukkan peningkatan selepas beberapa kejayaan di pentas antarabangsa, termasuk mencipta sejarah muncul juara berganda di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 menewaskan musuh tradisi, Thailand.
Rentetan kejayaan itu, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) bagi memastikan pembangunan sukan tradisi itu terus mampan.
Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, tumpuan pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada skuad elit, sebaliknya harus bermula daripada peringkat pelapis di seluruh negara.
“Kejohanan varsiti ini antara platform terbaik untuk kita kenal pasti bakat baharu. Ramai pemain berbakat di universiti, politeknik dan kolej yang mampu digilap menjadi pelapis kebangsaan,” katanya.
Menurutnya, langkah ini selaras dengan kerjasama rapat antara PSM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pemain muda terus aktif menerusi kejohanan kompetitif sepanjang tahun.
“Kita ada program pembangunan seperti NSTDP untuk bawah 14 dan 16 tahun. Liga varsiti pula jadi kesinambungan bagi umur 18 hingga 21 tahun. Inilah laluan progresif yang akan mematangkan pemain sebelum naik ke STL,” katanya.
Sumali turut mendedahkan beberapa pemain muda yang menonjol di kejohanan universiti kini sudah mendapat peluang beraksi bersama kelab di pentas STL, termasuk kejohanan berstatus tinggi seperti Piala Tun Ali.
“Selepas mula bermain di peringkat lebih tinggi, pengalaman itu mematangkan mereka,” katanya.
PSM juga melihat kejohanan yang disiarkan secara langsung di media sosial memberi impak besar kepada motivasi pemain muda yang mahu menyerlah di hadapan penonton.
Selain KPT, kerjasama dengan institusi seperti Majlis Amanah Raya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris turut diperluas bagi membuka ruang kepada pelajar cemerlang sukan menyambung pelajaran.
“Kita mahu pastikan pelajar berbakat diberi ruang sambung pengajian, asalkan mereka terus bermain dan berlatih secara berstruktur,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih wujud cabaran dari segi penyesuaian jadual antara akademik dan latihan, terutama bagi pemain berusia sekitar 19 tahun yang layak ke peringkat antarabangsa.
“Kita sedang bincang dengan universiti supaya ada kelonggaran tertentu,” katanya.
Dalam masa sama, PSM berhasrat memperkukuh liga dan kejohanan di bawah KPT agar mempunyai standard sepadan dengan kejohanan kebangsaan lain di bawah naungan persatuan.
Usaha itu turut memberi peluang kepada pemain muda merasai suasana sebenar pertandingan besar termasuk aksi separuh akhir dan final.
Katanya, pendekatan baharu ini juga memberi nafas segar kepada struktur pembangunan sedia ada, termasuk NSTDP.
Beliau percaya kebangkitan minat di sekolah dan daerah menunjukkan masa depan sukan takraw negara masih cerah, asalkan pembangunan akar umbi ini diteruskan secara konsisten.
“Ini tanda positif untuk masa depan sukan takraw kita. Asal usaha ini tidak terhenti di tengah jalan,” ujarnya.
Dengan pelan pembangunan menyeluruh daripada peringkat sekolah hingga universiti, PSM kini berada di landasan tepat untuk melahirkan generasi baharu pemain yang bukan sahaja berbakat, tetapi matang dan berpendidikan. -KOSMO! ONLINE














