fbpx
MENARA Condong merupakan mercu tanda utama pekan Teluk Intan, Perak.

Teluk Intan permata tersembunyi Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERLETAK di hilir Sungai Perak, Teluk Intan, merupakan sebuah bandar yang sering dikaitkan dengan sejarah, budaya dan keindahan semula jadi memukau. 

Walaupun tidak sebesar bandar pelancongan lain seperti Ipoh atau Taiping, namun Teluk Intan mempunyai daya tarik tersendiri, sekali gus menjadikannya destinasi percutian menarik bagi mereka yang gemarkan suasana santai dan tenang. 

Menurut seorang warga tempatan, Ridhwan Isa, 32, Teluk Intan bukan sahaja menyimpan kisah lama dari era penjajahan British, malah menawarkan pelbagai tempat menarik yang sesuai untuk pelancong seisi keluarga.

“Simbol ikonik Teluk Intan adalah Menara Condong yang menjadi mercu tanda utama bandar ini. 

“Dibina pada tahun 1885, menara ini berfungsi sebagai tangki air dan jam besar pada zaman dahulu. 

PELAWAT boleh menaiki Teluk Intan River Cruise menuju ke Pulau Bangau.

“Struktur kayunya yang condong menyerupai Menara Pisa di Itali. Ini menjadi daya tarikan utama pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, di kawasan sekitar menara, pelancong boleh menikmati suasana klasik pekan lama dengan deretan kedai berusia ratusan tahun yang menjual pelbagai barangan antik, makanan tempatan dan cenderamata.

Selain menara bersejarah itu, Pasar Malam Teluk Intan turut menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin merasai keunikan kulinari tempatan. 

Antara makanan popular yang wajib dicuba adaalah mi rebus Mastan Ghani yang terkenal dengan kuah pekatnya serta chee cheong fun Teluk Intan iaitu sejenis kuih beras lembut dihidang bersama sos manis dan pedas. 

Katanya lagi, bagi pencinta alam semula jadi, laluan sungai menawarkan aktiviti menarik seperti menaiki bot menuju ke Pulau Bangau sambil menikmati pemandangan kampung Melayu. 

“Terdapat juga kawasan paya dan sawah padi yang luas di sekitar Teluk Intan, sekali gus menjadikannya lokasi ideal untuk fotografi, berbasikal atau memancing. 

“Di waktu senja, pemandangan matahari terbenam di tepi sungai menampilkan suasana yang cukup menenangkan,” ujarnya.

Tidak jauh dari bandar utama, pelancong boleh singgah ke Kampung Bahagia iaitu kawasan yang terkenal dengan Perkampungan Labu Sayong dan hasil kraf tangan tempatan. 

Di sini, pengunjung boleh melihat sendiri proses pembuatan tembikar dan hasil tangan tradisional lain oleh penduduk setempat. 

Kongsinya lagi, bagi penginapan, Teluk Intan menawarkan pelbagai pilihan, daripada hotel moden serba lengkap hingga rumah inap desa (homestay) yang memberikan suasana kampung sebenar,” jelasnya.

Selain tarikan pelancongan dan budaya, Teluk Intan juga kaya dengan nilai sejarah kerana banyak bangunan lama masih berdiri megah di situ. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN