fbpx
RABIATUN bersama suami, Wan Farid Aswad Wan Asri mengumpulkan atap rumah mereka yang diterbangkan angin akibat ribut di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan semalam.

‘Jiran telefon nampak atap rumah terbang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini dikejutkan dengan kejadian ribut kencang yang mengakibatkan kerosakan teruk melibatkan 40 buah rumah selain 13 kes pokok tumbang.

Turut melalui pengalaman cemas ialah seorang warga emas, Fatimah Jamian, 76, apabila rumahnya di Taman Tanah Putih Baru di sini digegarkan dengan tiu­pan angin kencang ketika dia mahu menunaikan solat maghrib pada pukul 7 malam.

Katanya, kejadian berlaku ketika hanya dia dan seorang cucu berada di rumah sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi petir yang sangat kuat.

“Saya hanya mampu menyebut Allahuakhbar dan membaca surah. Angin kuat sangat, rumah pun rasa bergoyang.

“Tiba-tiba atap macam hendak terbang, saya tidak sempat buat apa-apa, terus baca surah dan sebut Allahuakhbar berulang kali.

“Sudah lebih 40 tahun saya tinggal di sini. Pernah kena ribut dulu, tetapi kali ini paling teruk, lebih 10 keping atap rumah saya rosak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Rabiatun Mohamed Yunus, 40, berkata, kejadian berlaku ketika dia tiada di rumah kerana berada di rumah ibunya yang terletak di kawasan berdekatan.

“Jiran telefon suruh balik sebab nampak semua atap rumah sudah tercabut diterbangkan angin. Rumah ini kami beli tahun 2021 dan baharu siap ubah suai setahun yang lalu.

“Memang tak sangka boleh jadi begini, ini kali pertama rumah kami kena ribut kuat,” katanya.

Menurutnya, selepas ribut berhenti, baru dia melihat atap rumah dan kayu kerangka tercabut diterbangkan angin, din­ding basah selain beberapa pe­rabot rosak.

“Memang luluh hati sebab saya keluarkan perbelanjaan lebih RM50,000 untuk ubah suai rumah tetapi rosak akibat ribut. Apapun kami tetap bersyukur kerana selamat,” tambahnya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuantan, Mejar Zahidi Zainudin berkata, kejadian ribut yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu menjejaskan kawasan Taman Tanah Putih, Bukit Setongkol serta Taman Cenderawasih.

“Setakat pukul 10 pagi, seba­nyak 40 rumah di Taman Tanah Putih dan selebihnya ma­sing-masing di Bukit Setongkol serta Taman Cenderawasih dikenal pasti mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan struktur tertentu.

“Jumlah sebenar premis terjejas serta anggaran kerugian masih dalam proses bancian. Namun, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN