ADA sesuatu yang menarik dalam dunia diplomasi apabila seorang pemimpin negara besar seperti Donald Trump memecah kebekuan dengan kata-kata ringkas tetapi sarat makna Nice ride.
Ayat pendek itu diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mereka menaiki The Beast, kereta rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Namun, di sebalik senyuman dan gurauan diplomatik itu, tersirat percaturan halus hubungan dua hala Malaysia-AS yang sedang berdepan zaman penuh ketidaktentuan geopolitik. Trump mungkin melihat Anwar sebagai seorang pemimpin dunia Islam yang mampu bercakap tanpa berselindung.
Sebaliknya, Anwar pula tidak tunduk kepada aura kuasa Washington, malah beliau memilih untuk berbicara soal Gaza dan penderitaan rakyat Palestin secara berdepan, bukan sekadar menyentuh di atas kertas kenyataan media. Inilah sisi ‘diplomasi berhati’ yang membezakan pendekatan Malaysia daripada retorik dingin banyak negara lain.
Sejarah hubungan Malaysia-AS bukan baharu. Sejak era Tun Dr. Mahathir Mohamad hingga Datuk Seri Najib Razak, tetapi dengan Anwar, pendekatannya lebih manusiawi, beliau mengangkat isu kemanusiaan sejagat ke meja rundingan tanpa mengorbankan kepentingan nasional.
Kemungkinan besar perbualan itu bukan hanya tentang nice ride, tetapi juga tentang nice stand pendirian Malaysia yang tegas terhadap kezaliman di Gaza.
Anwar memahami bahawa dunia kini menghormati pemimpin yang berani menegakkan prinsip di hadapan kuasa besar, bukan yang mencari perlindungan di belakangnya. Inilah seni diplomasi baharu Malaysia.
Trump pula, dalam gayanya yang terkenal spontan dan berterus-terang, mungkin menghormati keberanian itu. Dan di situlah terletaknya nilai simbolik The Beast sebuah kenderaan yang melindungi seorang presiden, tetapi dalam detik itu menjadi ruang kecil bagi dua pemimpin besar membina kepercayaan di atas landasan saling menghormati.
Ketika ditanya mengenai isi perbualan beliau sepanjang tempoh perjalanan itu, Anwar berkata, apa yang penting, Trump adalah seorang pendengar yang baik dan teliti, biarpun mereka menyentuh mengenai isu yang sensitif.
“Beliau tahu tentang pertemuan saya dengan bekas pemimpin Hamas. Saya jelaskan kepadanya mengapa saya berada di Doha. Saya kenal satu dua daripada mereka. Saya putuskan untuk bertemu mereka dan menggesa mereka menyokong inisiatif damai oleh negara Arab, OIC. Itu sahaja.
“Saya katakan, saya memang menyokong dan saya rasa tiada siapa boleh menafikan bahawa beliau cukup tekad memastikan ada keamanan di Gaza, hentikan pembunuhan berterusan.
“Tetapi saya katakan, jika kita bercakap tentang keamanan yang berkekalan ia mesti menyeluruh. Jawapan beliau ini fasa pertama. Kami sedang mengusahakannya. Kami ambil serius tidak boleh gagal,” kata Anwar.
Dalam dunia diplomasi moden yang sering dikuasai skrip dan senyum plastik, peristiwa kecil seperti ini lebih bermakna daripada seribu sidang media. Ia menunjukkan bahawa Malaysia bukan lagi hanya pemerhati dalam gelanggang kuasa, tetapi sudah menjadi pemain yang berprinsip dan didengari.
Mungkin, bagi Trump, nice ride hanyalah gurauan kecil. Tetapi bagi Anwar, itu ruang besar untuk membawa suara Gaza, suara dunia Islam terus ke gegendang telinga Washington dan di situlah terletaknya makna sebenar diplomasi Malaysia hari ini.
Semoga Malaysia terus gagah di mata dunia.














