HEBAT dalam menyusun irama dan kata dalam lagu, membuatkan bekas peserta Akademi Fantasia 3 iaitu Amylea Azizan berdiri sebaris dengan komposer popular tanah air.
Kreativiti tidak hanya menyerlah saat menggubah lagu, Amylea turut menggunakan ‘ramuan’ sama saat ingin tampil bergaya.
Selesa ekspresi diri melalui gaya jalanan atau streetwear, pelakon drama Berbahagi Suami itu turut menarik perhatian menerusi fesyen yang penuh dengan cita rasa unik dan karakter.
Baginya, fesyen bukan sekadar pilihan pakaian tetapi cerminan personaliti serta medium persembahan identiti.
“Saya suka gaya streetwear Jepun sebab fesyen sebegini seperti memiliki dunia yang berbeza apabila pakaian boleh dipakai untuk membuat persembahan dan boleh dipakai secara harian bagi aktiviti santai.
“Pakaian harian yang ringkas dan praktikal, namun dalam masa yang sama mampu menjadi busana persembahan apabila disatukan dengan kreativiti.
“Selesa dengan gaya sebegini, saya gemar memakai pakaian baggy atau padanan kemeja-T putih bersama seluar jean atau flare pants,” katanya kepada CitaRasa.
Pilihan potongan longgar seperti baggy pants dan oversized sweater menjadi elemen penting dalam gayanya kerana menawarkan keselesaan serta penampilan urban.

Gaya flare pants yang lazim dilihat dalam fesyen Jepun moden, bukan sahaja memberi bentuk unik, tetapi menyerlahkan kesan visual keseimbangan pada tubuh.
Padanan rona hitam, putih dan warna asas pula sentiasa menjadi pilihan Amylea saat ‘bercerita’ menerusi pakaian yang disarung.
“Kalau bercakap tentang warna, saya suka hitam dan putih. Boleh dikatakan itu pilihan utama kalau berpakaian harian, tetapi sebenarnya bergantung kepada keadaan juga.
“Apabila saya rasa perlu memakai pakaian berwarna-warni atau selain hitam dan putih, saya pilih warna asas atau merah jambu kerana sesuai dengan ton kulit.
“Saya suka merah jambu pula kerana warna ini membuatkan penampilan saya lebih menyerlah dan saya sangat menyukainya,” ujar penyanyi lagu Melepaskanmu itu.
Konsep ‘layering’ pula menjadi salah satu gaya pilihan Amylea bagi menambah tekstur serta dimensi pada penampilan.
Kombinasi pakaian yang digayakan memberi sentuhan gaya berbeza dan menyerlah terutama saat muncul pada acara hiburan dan sesuai dengan statusnya sebagai selebriti.
Begitu juga dengan aksesori yang turut memainkan peranan penting dalam penampilannya seperti gelang, rantai dan subang. Segalanya diibaratkan sebagai pelengkap yang membuatkan pesona penyanyi berusia 38 tahun itu kelihatan lebih berkeyakinan.

“Saya suka dengan gaya layering di mana memakai beberapa lapisan pakaian dengan rona berbeza atau sama.
“Jika bahagian luar saya suka mengenakan warna putih, mungkin lapisan dalam pula warna hitam atau yang sepadan.
“Begitu juga dengan perhiasan seperti rantai, subang atau gelang yang mungkin nampak ringkas, tapi sebenarnya itu juga antara yang membuatkan penampilan kelihatan menyerlah dan menarik,” ujarnya.
Seterusnya Amylea bercerita tentang kecintaannya terhadap gaya rambut braids yang dirasakan kemas dan praktikal.
Bukan sahaja sesuai dengan personaliti dan bentuk wajah, braids juga memberi kesan versatil sama ada ketika Amylea ingin mengenakan topi atau membiarkan rambut panjang terurai.
“Saya memang sangat suka gaya rambut braids kerana sesuai dengan bentuk muka dan personaliti.
“Kadangkala saya pilih gaya braids sahaja kerana penampilan lebih kemas, selesa dan paling penting pesona ini sangat bergaya,” katanya.
















