fbpx
BANYAK kes lori merempuh kenderaan lain akibat kegagalan brek berlaku sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. - GAMBAR HIASAN

Peraturan jalan raya tak boleh ubah ikut selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGHALALKAN perbuatan yang menyalahi peraturan. Itulah gambaran tepat mengenai desakan segelintir pengusaha dan pemandu lori balak yang mahu Kementerian Pengangkutan menilai semula pelaksanaan had muatan yang kononnya dianggap tidak adil.

Mereka mendakwa, pelaksanaan had berat berasaskan Berat Dalam Muatan (BDM) menyebabkan jumlah kayu yang boleh dipunggah bagi satu perjalanan lebih sedikit, walaupun kenderaan masih berupaya menampung beban.

Ia akan menyebabkan pengusaha kerugian dan bakal gulung tikar, manakala pemandu lori pula kehilangan pekerjaan.

Desakan ini tidak boleh dikompromi, tidak kira lori balak atau kenderaan berat lain. Selama ini banyak kenderaan berat membawa muatan berlebihan.

Tekanan berlebihan akan menyebabkan jalan raya cepat rosak, berlubang dan tidak rata sehingga mengundang nahas kepada pengguna lain terutama penunggang motosikal.

Kerajaan pula terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membaiki jalan dan infrastruktur yang rosak.

Kenderaan sarat muatan akan membebaskan lebih banyak asap dan karbon kerana penggunaan bahan api meningkat, sekali gus mencemarkan alam sekitar.

Lori seperti ini juga akan mengganggu lalu lintas kerana sering bergerak perlahan. Jangan sesekali mengekori kenderaan berat terlalu dekat ketika menaiki bukit. Jika nasib tidak baik, lori terbabit akan mengundur dan merempuh anda.

Lebih menakutkan apabila muatan berlebihan akan meningkatkan risiko kemalangan.

Keupayaan membrek dan mengawal kenderaan semakin berkurangan. Sistem brek dan tayar juga cepat haus dan rosak akibat beban berlebihan.

Banyak kes lori merempuh kenderaan lain akibat kegagalan brek berlaku sehingga menyebabkan kehilangan nyawa insan lain yang tidak bersalah.

Antaranya kejadian seorang wanita yang juga wadar penjara maut digilis lori simen di persimpangan lampu isyarat di Lebuh SPA, Sungai Udang di Melaka pada Mei lalu.

Lori itu gagal mengawal kenderaan akibat brek rosak sebelum merempuh mangsa yang menunggang motosikal ketika berhenti di lampu isyarat.

Pada September lalu pula, nyawa seorang bayi melayang dan beberapa yang lain cedera parah selepas kenderaan mereka dirempuh pemandu lori di Plaza Tol Bukit Kajang.

Pemandu lori terbabit mengaku melompat keluar dari kenderaan berat itu yang didakwa mengalami masalah brek.

Semalam, Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan mendedahkan, muatan berlebihan pada lori yang membawa batu kerikil menjadi punca nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu.

Ternyata, pelaksanaan had berat berasaskan BDM dilakukan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan menjaga ketahanan infrastruktur. Keuntungan tidak seharusnya mengatasi keselamatan awam.

Pemandu atau pengusaha yang masih berdegil sememangnya wajar ‘diperangi’ dengan mengenakan saman, disita kenderaan dan pembatalan lesen.

Hanya dengan ketegasan, keselamatan jalan raya dapat dipertahankan serta ‘maruah’ undang-undang negara tidak dipermain-mainkan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN