fbpx
Faktor utama yang membentuk tingkah laku remaja berpunca daripada pelbagai elemen antaranya media sosial dan permainan dalam talian.

‘Dalam satu telefon sahaja sudah banyak sumber pengaruh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Isu peningkatan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan ramai termasuk kes buli, pergaduhan dan lebih teruk menjurus kepada pembunuhan.

Situasi itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, termasuk ada yang menuding jari kepada industri hiburan khususnya karya seni seperti drama dan filem yang dianggap memberi pengaruh negatif terhadap golongan muda.

Antara yang menjadi perhatian ialah filem Kahar, karya yang mengangkat kisah kehidupan pelajar bermasalah dan budaya gengsterisme di sekolah, yang disalah tafsir sesetengah pihak kononnya mendorong remaja meniru perlakuan ganas yang dipaparkan.

Namun, pelakon Mira Filzah tampil menegaskan karya seni tidak seharusnya dijadikan kambing hitam semata-mata apabila berlaku peningkatan kes jenayah dalam kalangan remaja.

Katanya, filem dan drama sebenarnya merupakan cerminan realiti masyarakat yang bertujuan memberi kesedaran, bukannya menggalakkan perlakuan tidak bermoral.

“Industri kita sedikit sebanyak boleh memberi impak sangat besar dan memainkan peranan dari segi pengaruh untuk budak-budak. Saya percaya kalau industri kita menghasilkan filem-filem, drama-drama atau projek ada unsur pengajaran dan nilai-nilai murni, ramai yang boleh belajar,” katanya.

Pelakon drama popular Pujaan Hati Kanda itu berkata pentingnya keseimbangan antara hiburan dan mesej positif dalam sesebuah karya agar penonton tidak hanya terhibur, tetapi juga mampu mengambil iktibar.

“Saya percaya industri kita memang memberi impak yang besar sebab apa yang kita tunjuk, mereka lihat dan serap. Tetapi penting untuk kita hasilkan karya yang ada pengajaran, bukan sekadar hiburan kosong.

“Kalau nak buat filem tentang buli, contohnya, mesti ada mesej di sebaliknya, bukan hanya tunjuk perbuatan buli semata-mata,” ujarnya.

Dalam masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, faktor utama yang membentuk tingkah laku remaja tidak datang dari satu sumber, sebaliknya berpunca daripada pelbagai elemen seperti media sosial dan permainan dalam talian.

“Sebenarnya dalam satu telefon sahaja sudah banyak sumber pengaruh. Bukan hanya drama atau filem, tapi permainan dalam talian, media sosial dan macam-macam lagi. Jadi, bukan satu pihak sahaja yang perlu dipersalahkan.

“Sebagai contoh lain, permainan, kandungan dalam talian dan sebagainya juga boleh menjadi punca kepada isu yang disebutkan. Tanggungjawab itu perlu dikongsi bersama, termasuk ibu bapa,” katanya.

Bagaimanapun, Mira percaya masih ramai pelajar dididik dengan baik dan tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

“Kadang-kadang bila satu kes jadi tular nampak besar. Tapi saya percaya masih ramai anak muda di luar sana yang baik, berpendidikan dan mempunyai nilai yang baik. Jadi saya rasa tidak adil kalau semua dipersalahkan pada filem atau drama tempatan,” ujarnya.

Mira turut berkongsi pendekatannya dalam mendidik anak agar tidak terlalu bergantung pada penggunaan gajet sejak usia kecil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN