fbpx
AINA akan menikmati hi tea sama ada di restoran atau hotel sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Buru hi tea di hotel jadi hobi masa lapang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA cuti hujung minggu, ketika rakan sebayanya sibuk mencari aktiviti lasak atau menghabiskan masa di pusat beli-belah, Farihah Aina lebih gemar duduk santai di kafe atau hotel yang menawarkan hidangan hi tea.

Untuk maklumkan, hi tea atau minum petang merupakan pengalaman menjamu selera pelbagai jenis makanan ringan dan savoury yang disajikan dalam suasana santai.

Bagi wanita yang mesra disapa Aina itu, hi tea bukan sekadar minum teh atau menikmati kek.

Bahkan, ia adalah waktu terbaik untuk wanita berusia 28 tahun itu menenangkan fikiran, menghargai keindahan hidangan kecil yang tersusun rapi dan meninjau persekitaran lokasi dikunjungi.

Berkongsi dengan K-Remaja, anak kelahiran Pahang itu memberitahu, dia mula menjadikan aktiviti itu sebagai rutin bulanan atau hobi sejak setahun lalu.

Biasanya, Aina pergi menikmati hi tea bersama rakan-rakannya, kadangkala dia akan pergi seorang diri jika terlalu teringin menghirup secawan teh panas sambil menikmati scones.

“Saya mula suka menikmati hi tea selepas diperkenalkan oleh salah seorang rakan lebih setahun lalu.

“Pada mulanya, saya mencuba aktiviti ini secara suka-suka kerana kebetulan salah seorang rakan mahu menggunakan baucar hi tea yang diperolehnya daripada syarikat tempat dia bekerja.

“Kali pertama mencuba, saya sukakan suasana santai di ruangan hi tea, lebih-lebih lagi dalam hotel lima bintang. Sejak itu, saya menanam azam untuk meneroka lebih banyak lokasi hi tea di negara ini,” katanya.

Pemanis mulut merupakan antara hidangan yang sinonim dengan pakej hi tea.

Ujar Aina, sama seperti kebanyakan orang, dia mulanya menganggap hobi tersebut sebagai satu pembaziran.

Ini kerana, harga hi tea lazimnya agak mahal dengan seleksi makanan yang terhad atau tidak begitu menepati cita rasa.

Biarpun kebanyakan tempat menghidangkan seleksi juadah yang hampir serupa seperti scones bersama krim dan jem, pastri dan sandwic, namun suasana persekitaran menjadikan setiap pengalaman hi tea itu berbeza.

“Walaupun ada yang mempersoalkan tindakan saya berhabis duit untuk makan makanan yang seakan-akan sama di hotel-hotel berbeza, namun bagi saya setiap lokasi mempunyai tarikan tersendiri,” katanya.

Sehingga kini, Aina sudah mencuba hidangan hi tea di lebih 20 buah hotel dan restoran yang menyajikan hidangan tersebut di sekitar Lembah Klang dan Cameron Highland, Pahang.

Ditanya tentang kekerapan dia mencuba hi tea, Aina memberitahu, dia akan mencari masa sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk aktiviti itu.

“Ini kerana ada masanya, saya sibuk pada hujung minggu dengan urusan lain.

“Namun dalam sebulan, saya akan mencari dan memilih pakej hi tea mahu dicuba sama ada seorang diri atau bersama rakan dan adik perempuan yang turut menggemari aktiviti ini,” katanya.

Aina menambah, dia berhasrat untuk mencuba hobinya di luar negara dengan mencari lokasi hi tea menarik untuk dikunjungi.

“Jika ada rezeki kelak, apabila melancong ke luar negara, saya mahu mencuba menu hi tea di negara-negara lain pula.

“Pengalaman itu pasti lebih menarik. Buat masa ini, saya belum jumpa seleksi hi tea halal di negara-negara yang saya pernah kunjungi,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN