SEGAMAT – Seorang warga emas yang tinggal di Jementah di sini menyimpan ‘harta pusaka’ unik berupa senaskah al-Quran yang didakwa antara yang terkecil dunia.
Baharum Ahmad, 71, berkata, dia menjadi pewaris selaku pemegang amanah sejak turun-temurun menjaga kitab suci al-Quran yang hanya bersaiz sebesar ibu jari manusia dewasa.
Berkongsi mengenai asal usul pemilikan al-Quran terkecil itu, Baharum berkata, dia mewarisi kitab suci berkenaan sebelum pemergian ibunya, Zaiton Mohd Salleh, 80.
“Ketika itu Allahyarham ibu saya berada di rumah sebelum didatangi seorang pedagang ayat suci menawarkan kitab al-Quran tersebut.
“Sewaktu saya bertanya harga al-Quran itu kepada ibu saya, dia juga tidak ingat berapa harga dibelinya, ibu yang melihat keunikan saiz al-Quran itu terus tertarik lalu membelinya tanpa was-was.
“Ibu saya telah meninggal dunia kira-kira 13 tahun lalu ketika berusia 80-an dan jika dia masih hidup sehingga kini umurnya mencecah 93 tahun,” katanya ketika ditemui di Jementah, di sini semalam.
Tambah Baharum, al-Quran unik berkenaan hanya berukuran dua sentimeter lebar dan satu sentimeter tebal dengan hanya sebesar ibu jari dewasa.
Katanya, al-Quran kecil ini hampir tidak kelihatan ketika diletakkan di telapak tangan manusia dewasa dan hanya boleh dibaca dengan menggunakan kaca kanta cermin atau kaca mata berkapasiti tinggi.














