AZROY memegang watak sebagai Manap Firaun yang merupakan ketua kongsi gelap di ABRP.

Azroy hidupkan watak mafia menerusi GTA ABRP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia maya Adik Beradik Role Play (ABRP) berasaskan Grand Theft Auto V (GTA V), pemain meneroka sebuah bandar yang diinspirasikan daripada Los Santos tetapi digubah semula dengan identiti tempatan.

Di situ, kelihatan watak Manap Firaun melangkah yakin di jalanan maya, membawa naratif dan budaya Malaysia ke dalam dunia digital.

Watak itu bukan sekadar rekaan tetapi cerminan kreativiti anak muda Johor Bahru, Muhamad Azroy Azizan atau lebih dikenali sebagai ChipNiBoss.

Melalui pelayan permainan ABRP yang dibangunkan di bawah platform FiveM oleh Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL), Azroy menjadi antara pemain tempatan yang berjaya menonjolkan budaya Malaysia di pentas global.

Katanya, Manap Firaun merupakan watak ketua kongsi gelap yang menguruskan operasi dalam dunia permainan itu, lengkap dengan kisah pengaruh, konflik dan tanggungjawab menjaga komuniti maya yang dibina bersama pemain lain.

“Permainan ini bukan sekadar permainan biasa, malah setiap pemain perlu sediakan plot sebelum bermain, seolah-olah mengikuti jalan cerita dalam sebuah siri episod.

“Berkonsepkan ‘role-play’, setiap watak dimainkan secara realistik mengikut plot yang dibina. Watak saya adalah ketua kongsi gelap yang mempunyai beberapa orang suruhan.

“Jadi untuk mendalami watak ini memang mencabar sebab kena benar-benar faham peranan dan suasana dia,” katanya kepada K-Remaja.

Untuk makluman, ABKL kini membangunkan dunia maya menerusi GTA ABRP berasaskan budaya dan ekonomi tempatan iaitu pemain boleh menjadi polis, doktor, usahawan, malah pelumba jalanan.

Dalam sistem ekonomi permainan, pemain boleh membeli rumah, kereta, motosikal dan pelbagai barangan lain secara kekal dalam permainan.

Sumber pendapatan pemain datang daripada pelbagai pekerjaan dalam permainan seperti mengangkat sampah, bekerja di kedai, melakukan penghantaran, bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau bekerja di bengkel, selain daripada menerima hadiah daripada netizen melalui pemberian atau social buzz.

Kejayaan tersebut dibuktikan apabila pelayan GTA ABRP mencapai ranking pertama dunia di platform FiveM.net dengan jumlah pemain aktif paling ramai dalam talian, satu pencapaian global yang lahir daripada bakat dan kreativiti komuniti anak muda Malaysia.

Kini, ABKL menguruskan tiga pelayan FiveM iaitu AdikBeradik East, AdikBeradik West dan AdikBeradik Mobile yang turut disokong oleh komuniti Discord besar dengan lebih 63,000 ahli di AdikBeradik East, 19,400 ahli di AdikBeradik West dan 18,000 ahli di AdikBeradik Mobile.

Azroy turut bertanggungjawab menguruskan kira-kira 400 orang pemain di bawahnya bagi memastikan jalan cerita berjalan lancar.

Tugas ini termasuk memastikan setiap ahli kongsi gelap mengikuti peranan masing-masing, menyelesaikan konflik dan mengekalkan keseimbangan dalam komuniti maya.

Aktiviti harian seperti operasi bengkel, interaksi sosial dan strategi kongsi gelap dijalankan mengikut peraturan yang telah ditetapkan untuk mengekalkan realisme permainan.

BELIAU turut bertanggungjawab menguruskan kira-kira 400 orang pemain di bawahnya bagi memastikan jalan cerita berjalan lancar.

Bagi pemuda berusia 31 tahun tersebut, Manap Firaun bukan sekadar watak digital tetapi juga medium untuk menzahirkan kreativiti, kepimpinan dan pemikiran strategik dalam membina komuniti maya.

Setiap interaksi, dari mengurus ahli kongsi gelap hingga mengendalikan konflik dalam bandar maya, dirancang dengan teliti untuk mengekalkan realisme dan daya tarikan naratif.

Pendekatan ini membolehkan pemain lain merasai pengalaman yang hampir menyerupai kehidupan sebenar, termasuk pengurusan organisasi, pembangunan hubungan sosial dan perancangan strategik jangka panjang.

Azroy menekankan bahawa kejayaan watak ini bergantung kepada pemahaman mendalam terhadap peranan setiap ahli dan bagaimana setiap keputusan memberi kesan kepada reputasi kongsi gelap.

“Semua watak dalam server roleplay diwajibkan mengikuti aturan yang ditetapkan, menggunakan dialog secara rawak dan tidak boleh membawa perkara luar permainan ke dalam dunia maya.

“Pemain baharu menjalani latihan selama tiga bulan, termasuk sesi langsung yang digunakan sebagai latihan praktikal. Pemain yang melanggar peraturan boleh dikenakan hukuman, termasuk penggantungan atau ban daripada server,” katanya.

Selain itu, Azroy menggunakan watak Manap Firaun untuk menonjolkan budaya Malaysia melalui interaksi sosial, percakapan dan aktiviti harian dalam permainan.

Gaya berpakaian, cara bercakap dan aktiviti yang dijalankan dalam kongsi gelap direka untuk memberikan pengalaman tempatan kepada pemain luar negara.

Katanya, perkara tersebut secara tidak langsung dapat memperkenalkan identiti Malaysia ke dalam dunia digital yang bersifat global.

“Dalam dunia ABRP ini, hampir semua benda kami ubah ikut cita rasa tempatan. Nama jalan, kedai, restoran, semua ada sentuhan Malaysia.

“Contohnya, ada bengkel dengan nama tempatan, malah kereta pun kami ubah jadi model yang biasa nampak di jalan raya Malaysia seperti Myvi, Hilux dan Wira.

“Bila pemain luar masuk, mereka boleh rasa suasana macam betul-betul berada di Malaysia,” katanya.

Setakat ini, terdapat lebih 20 filem yang telah mereka mainkan berdasarkan ‘role-play’, dengan sesetengah filem mengandungi 30 hingga 40 episod.

Konsep ini diwujudkan berdasarkan permintaan pemain supaya episod lebih panjang dan mendalam, sambil mengekalkan watak yang sama tetapi dengan jalan cerita berbeza.

Paling hangat kini adalah siri ‘Blood Brother’ iaitu wataknya perlu menguruskan bengkel dan memberi sokongan kepada ahli lain apabila didapati berlaku gangguan atau ancaman.

Setiap tindakan dalam siri ini mempunyai konsekuensi gelap seperti bengkel diserang atau ditembak, menyebabkan watak Blood Brother terpaksa turun ke lokasi untuk menangkis ancaman dan menjaga keselamatan komuniti maya.

“Kadang-kadang netizen tidak sedar bahawa semua yang berlaku dalam permainan hanyalah roleplay, jadi konflik awal boleh timbul.

“Sebab itu saya jadikan streaming sebagai kerja sepenuh masa, untuk urus skrip, jalan cerita dan sesi live. Biasanya saya stream 12 jam sehari.

“Kemudian sambung dengan skrip dan perancangan sehingga 45 jam seminggu,” jelas Azroy yang mengakui jumlah tontonan yang diperoleh memberi pulangan memberangsangkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN