fbpx
Ada bekas isteri yang terpaksa menumpang di rumah saudara dan kereta 'dirampas' selepas bercerai dengan pasangan. - GAMBAR JANAAN AI

‘Saya dihalau dari rumah, kereta dirampas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Terdapat golongan ibu tunggal mengakui mereka bergelut membesarkan anak-anak termasuk terpaksa menum­pang di rumah saudara gara-gara sikap bekas suami enggan membayar nafkah.

Seorang kerani dikenali sebagai Shima, 44, berkata, dia membesarkan tiga anak berusia lima hingga 14 tahun seorang diri selepas berpisah dengan pasa­ngannya empat tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu, bekas suami tidak membayar nafkah dengan alasan saya be­kerja dan mempunyai pendapatan tetap, sedangkan gaji yang diperoleh cuma RM2,100.

“Dengan pendapatan seba­nyak itu, mana mampu saya hendak besarkan tiga anak dan membayar sewa rumah.

“Bekas suami tidak benarkan saya tinggal di rumah kami, kereta saya juga diambil selepas kami bercerai, bahkan tidak bertanya khabar anak-anak,” katanya.

Ceritanya, selepas keluar dari rumah bekas suami, dia dan anak-anak menumpang di rumah saudara dan bersyukur kerana ahli keluarganya memahami kesusahan yang sedang dihadapinya.

“Saya beli motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar anak-anak ke sekolah. Saya juga bersyukur kerana anak-anak memahami apa yang dilalui dan tidak mengeluh,” katanya.

Di Gua Musang, Kelantan, ibu tunggal dikenali sebagai Fiza, 38, menyokong usaha kerajaan untuk menyita harta bekas suami atau bapa yang culas membayar nafkah anak.

Katanya, kehidupannya bersama dua anak berusia tiga dan lapan tahun terumbang-ambing selepas bercerai tahun lalu ditambah pula bekas suami tidak membayar nafkah RM400 sebulan seperti diperintahkan oleh mahkamah.

“Bekas suami tidak pernah beri satu sen pun sepanjang kami cerai walaupun dia bekerja sebagai penjawat awam. Saya pula suri rumah, jadi untuk memulakan kehidupan baru, saya cuma cari kerja dan meminjam wang daripada keluarga.

“Mujur saya diterima bekerja sebagai pembantu jualan dan pendapatan itu digunakan untuk menyara kami tiga beranak,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Fiza berkata, dia pernah melaporkan perkara itu kepada Bahagian Sokongan Keluarga Mahkamah Syariah, namun hanya bertahan tiga bulan.

“Bila saya hubungi, panggilan pula tidak pernah diangkat. Sepatutnya dia (bekas suami) tiada masalah untuk menjelaskan bayaran itu kerana dia penjawat awam.

“Wang ini untuk kegunaan saya, tetapi anak-anak. Saya yakin bekas suami sengaja. Memang sedih bila anak-anak diperlakukan begini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN