MERSING – Pantai Telok Gorek, dekat sini yang dulu dipenuhi pengunjung kerana keindahan pantai dan kebersihan kawasan sekitarnya, kini agak sepi disebabkan kemudahan awam seperti tandas rosak dan tidak diselenggara dengan baik, manakala kawasannya yang kotor.
Selain itu, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang melonggokkan sampah sesuka hati juga menjadi penyebab semakin kurang orang ramai datang ke pantai berkenaan.
Seorang pengunjung, Rahmat Atan, 55, berkata, dia yang berkunjung ke pantai berkenaan terkejut selepas mendapati tandas yang disediakan di situ rosak, dipenuhi sampah dan tiada bekalan elektrik.
“Saya terkejut seolah-olah pihak berwajib tidak membuat penyelenggaraan, seolah-olah bertindak lepas tangan dalam hal ini.
“Melihat keadaan tandas, saya menganggarkan kerosakan itu sudah lama tanpa ada usaha untuk membaikinya. Bekalan elektrik dan air juga sudah dipotong.
“Botol air mineral yang berlonggok di dalam tandas dipercayai dibawa pengunjung untuk membersihkan diri selepas mandi di pantai,” katanya di sini semalam.
Justeru, dia meminta pihak berkenaan segera melakukan penambahbaikan bagi membolehkan pantai ini meriah semula dengan pengunjung seperti sebelum ini.
Katanya, dia bertemu dengan sebuah keluarga yang datang dari jauh untuk berkelah di pantai berkenaan, tetapi membatalkan hasrat tersebut disebabkan persekitaran kawasan itu yang kotor dan menjijikkan.
Ujarnya, keluarga berkenaan kemudian memaklumkan mereka akan beriadah di Pantai Air Papan tidak jauh dari situ.
Seorang lagi pengunjung, Mahlisa Samat, 39, berkata, dia yang datang dari Kluang turut terkejut dengan keadaan kawasan pantai itu yang semakin
kotor dan tidak diuruskan dengan baik.
Katanya, dia amat berharap agar pihak berkaitan tidak membiarkan kawasan berkenaan terus terbiar tanpa pembelaan sewajarnya.














