fbpx
Karya paling besar adalah karya terbaharunya di pusat beli-belah Mayang Mall, Terengganu yang berukuran 4.8 meter (kiri).

Seni kolam hasil tangan anak Melayu, Bakri dapat tempahan pusat beli-belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENI kolam dari selatan India merupakan warisan budaya yang indah.

Seni ini turut diamalkan oleh masyarakat India di Malaysia, terutama semasa perayaan Deepavali.

Ia bukan sekadar hiasan tetapi juga simbol warisan budaya dan keharmonian yang menarik minat ramai untuk menatapnya setiap kali dipamerkan.

Lebih menarik, salah seorang penggiat seni kolam yang menonjol di Malaysia ialah anak Melayu, Mohd. Bakri Talib.

Menurut guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Zon R1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu, minatnya terhadap kreativiti membawanya mendalami seni kolam sejak di bangku universiti.

“Ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM), saya perlu mengambil subjek bahasa tambahan dan saya pilih Bahasa Tamil kerana saya menyukai seni tulisannya.

“Selama empat semester, saya banyak bergaul dengan rakan-rakan India dan secara tidak langsung diperkenalkan kepada seni kolam.

“Pengalaman melihat pelbagai corak kolam menginspirasikan saya untuk mencuba sendiri,” katanya kepada CitaRasa.

Mengulas penglibatannya dalam dunia kolam, Mohd. Bakri berkata, dia mula aktif menyertai pertandingan sekitar tahun 2015.

Pada ketika itu, dia merupakan satu-satunya peserta Melayu yang berjaya mengalahkan peserta India lain.

Kemenangan pertama itu memberi semangat kepada anak jati Terengganu itu untuk terus memperbaiki karyanya agar lebih kemas dan kreatif.

Katanya, keindahan seni kolam bukan hanya bergantung pada corak tetapi juga pada bahan dan teknik.

“Saya sering memerhati kerja orang lain untuk mempelajari lebih mendalam tentang seni ini termasuk jenis beras tertentu dan penggunaan tepung warna.

“Saya juga gunakan serbuk seni untuk menambah detail halus agar kolam lebih hidup dan menawan,” ujarnya.

Menyentuh berkenaan proses kreativitinya, Mohd. Bakri memulakan dengan lakaran di kertas atau iPad sebagai asas sebelum mencipta kolam secara terus.

Kemudian, lelaki dalam lingkungan 40-an itu memilih corak, menentukan warna, dan menyediakan bahan seperti beras hancur, tepung berwarna, tepung suji serta serbuk sentuhan seni.

Kolam biasanya dilukis terus di lokasi, sama ada di lantai pasar raya, karpet atau papan putih, bergantung pada saiz dan tempat.

Kreativiti juga termasuk menambah elemen dekoratif seperti lampu dan pelita, serta menggabungkan corak tradisional dengan sentuhan moden, misalnya corak bunga dan reka bentuk kontemporari.

Sejak mula berkarya, Mohd. Bakri telah menyertai banyak pertandingan dan mendapat tempat dalam carta kemenangan pertandingan tersebut.

Kejayaan tersebut membuatkan namanya dikenali dan secara tidak langsung membuatkan pusat beli-belah menggunakan khidmatnya untuk rekaan kolam mereka.

Kongsi Mohd. Bakri, karya paling besar adalah karya terbaharunya di pusat beli-belah Mayang Mall, Terengganu berukuran 16 kaki (4.8 meter).

“Bersempena Deepavali pada kali ini, saya telah dilantik oleh pusat beli-belah seperti Mayang Mall, Terengganu untuk menyiapkan kolam pada tahun ini.

“Saya siapkan karya di Mayang Mall bersama anak dan bekas pelajar saya yang memerlukan masa dari pukul 11 malam sehingga 5 pagi untuk selesai,” katanya.

Bagi Mohd. Bakri, kolam menjadi simbol perpaduan antara kaum, dihias untuk meraikan budaya tanpa niat dominasi, tapi semata-mata menghormati seni dan perayaan.

Walaupun belum ada tokoh tertentu yang menjadi rujukan utama, dia berharap dapat menjadi inspirasi kepada orang lain untuk mencuba seni lintas budaya.

Bagi masa depan, Mohd Bakri ingin meneroka corak potret, namun sedar ia memerlukan ketelitian tinggi.

Fokusnya kini terus mengembangkan kreativiti melalui corak tradisional dan moden sambil memperkaya pengalaman seni kolam di Malaysia.

“Saya pernah tengok orang buat karya bentuk potret yang realistik persis gambar asli. Itu sememangnya tahap seni kolam yang agak tinggi.

“Walaupun saya belum mampu lakukan sedemikian, tapi saya pernah lakukan corak berbentuk potret dan masih perlu kemaskan kemahiran tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN