fbpx
Dr. Hanis yang tular kerana kecemerlangan meraih PhD tanpa pembetulan daripada Universiti Cambridge mengimbau cabaran yang dilaluinya sepanjang menyiapkan tesis berkaitan metabolisme bayi pramatang itu antaranya diuji dengan kehilangan bapa tercinta.

‘Saya siapkan tesis sebelah katil hospital arwah ayah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERJAYA menggenggam segulung ijazah doktor falsafah (PhD) dari University of Cambridge, United Kingdom tanpa sebarang pembetulan (without correction) merupakan satu pencapaian luar biasa yang dilakar oleh Dr. Hanis Hidayu Kasim.

Tidak pernah terlintas di fikiran wanita berusia 39 tahun itu bahawa dia akan menyempurnakan pengajian PhD dalam bidang pediatrik tanpa sebarang pembetulan di salah sebuah universiti berprestij di dunia.

Dia yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM berkata, PhD tanpa pembetulan bermaksud tesis yang diluluskan oleh jawatankuasa senat universiti tanpa perlu sebarang pindaan.

“Saya sendiri tidak menyangka bahawa kajian PhD saya diluluskan tanpa pembetulan sebaik sahaja mendapat e-mel daripada pihak universiti.

“Perkara pertama yang saya lakukan setelah mengetahui keputusan luar jangka ini adalah melakukan sujud syukur bersama suami.

“Ia sebagai tanda terima kasih kepada Allah SWT atas kejayaan ini,” katanya yang berasal dari Melaka.

Kejayaan yang dilakar oleh Dr. Hanis membuktikan bahawa anak Malaysia juga mampu menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan menjadi pelajar cemerlang di universiti terkenal di dunia.

Mengulas lanjut, Dr. Hanis berkata, bagi pengajian PhD, dia menjalankan penyelidikan yang memfokuskan kepada metabolisme bayi pramatang.

DR. HANIS (kiri) bersama Dr. Rafidah yang merupakan penyelianya ketika pengajian peringkat sarjana di USIM.

Tesis yang dihasilkannya berjudul, Study of Fat Metabolism and the Interplay with Insulin in Preterm Infants in the First Year of Life.

Semasa berada di Universiti Cambridge, Dr. Hanis telah mengetuai penyelidikan perintis mengenai metabolisme lemak bayi dan kepekaan insulin, serta penggunaan klinikal pemantauan glukosa berterusan dalam kalangan bayi pramatang.

Menurut Dr. Hanis, dia mengkaji perubahan metabolisme bayi pramatang bermula ketika mereka dilahirkan sehingga berusia setahun.

“Penyelidikan ini memberi fokus kepada lipidomik ataupun lemak dan kaitannya dengan tahap kerentanan insulin.

“Saya mengkaji hubungan jika lipidomik berbeza dan kesannya kepada insulin atau sebaliknya,” ujarnya.

HAKIKATNYA, perjalanan Dr. Hanis untuk menyempurnakan pengajian PhD di bumi asing bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Sebelum terlibat dalam bidang akademik, dia sebenarnya terlebih dahulu berkhidmat sebagai doktor dan pernah bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu serta Klinik Kesihatan Peringgit di Melaka.

“Saya sebelum ini belajar dalam bidang perubatan di Universiti Andalas, Padang, Indonesia pada 2005 dengan mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Namun pada tahun keempat pengajian berlaku gempa bumi di sana.

“Kemudian, JPA memberi tawaran kepada pelajar terkesan untuk pulang belajar di Malaysia dan saya menyambungkan pengajian di Universiti Cyberjaya,” ujarnya.

Tambahnya, jika dihitung tempoh keseluruhan Dr. Hanis belajar dalam bidang perubatan adalah selama tujuh tahun sebelum menjadi seorang doktor.

SUAMI dan anak merupakan insan yang banyak memberi motivasi kepada Dr. Hanis.

Ketika bekerja sebagai doktor, dia gemar merawat dan berinteraksi dengan pesakit pada setiap hari.

Dalam masa sama, dia merasakan satu dorongan peribadi untuk melakukan sesuatu yang lebih bermakna.

Hal ini kerana Dr. Hanis sering tertanya-tanya cara untuk membantu menyelesaikan masalah pesakit dengan lebih mendalam.

Pada suatu hari, beliau mendengar dedikasi Prof. Dr. Rafidah Hanim Mohkhtar yang juga merupakan pensyarah di USIM bersiaran langsung di dalam radio.

“Saya tidak kenal Dr. Rafidah pada mulanya, kemudian saya menghubunginya menerusi Facebook untuk mendapatkan nasihat.

“Dia memberitahu saya, jika ingin terlibat dengan banyak kajian, saya perlu bekerja di universiti,” jelasnya.

Kemudian, Dr.Hanis memohon untuk bekerja di universiti, dan beliau diterima untuk bertugas sebagai pensyarah perubatan pelatih di USIM pada 2016.

Ketika bertugas sebagai pensyarah pelatih, beliau mengambil kesempatan untuk menyambung pengajian Sarjana Sains Perubatan di USIM pada 2019 di bawah selian Dr. Rafidah dan Dr. Maiza Masri.

Dr. Hanis mencatatkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.99 ketika pengajian sarjananya.

Setelah tamat pengajian peringkat sarjana, Dr. Hanis mula memikirkan tentang langkah untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD.

“Saya mula mencari universiti yang sesuai dengan menghantar permohonan menerusi e-mel ke beberapa universiti seperti University of Cambridge, University of Oxford dan University of Melbourne.

“Tetapi hanya University of Cambridge dan University of Oxford yang memberikan maklum balas serta menjemput saya untuk sesi temu duga,” jelasnya.

Takdir telah menentukan bahawa Dr. Hanis mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian PhD di University of Cambridge, dan dia terbang ke sana pada Oktober 2020 ketika pandemik Covid-19 masih lagi ‘mengganas’.

Dia bersyukur kerana mendapat pembiayaan biasiswa pengajian daripada Cambridge Trust. Bagaimanapun, liku-liku cabaran bermula apabila beliau memulakan langkah untuk menyempurnakan penyelidikan PhD.

Dr. Hanis menjelaskan, pada tahun pertama di sana, dia harus menulis lima bab untuk viva tahun pertama sebelum masuk tahun kedua.

“Jika saya tidak lulus viva tersebut saya perlu pulang ke Malaysia. Ketika semester satu juga penyelia meminta saya menukar topik kajian dan meminta saya memberi fokus kepada bayi pramatang.

“Saya keliru juga pada ketika itu kerana sebelum ini saya fokus dan membaca buku fisiologi berkaitan remaja. Apabila perlu tukar topik secara tiba-tiba, saya harus mula balik dari kosong,” jelasnya.

Pada tahun kedua pengajian, beliau berhadapan dengan cabaran untuk mengumpul data bagi penyelidikan.

Beliau perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa bayi pramatang di hospital terlebih dahulu. Jadi, Dr. Hanis perlu bertemu dengan lebih 430 ibu bapa bayi pramatang, namun hanya 73 yang bersetuju. Jumlah itu mencukupi untuk memenuhi nisbah kajian fisiologi dengan justifikasi saintifik.

Sewaktu dalam perjalanan menyempurnakan PhD, Dr. Hanis perlu bertarung dengan emosi apabila bapanya berhadapan dengan masalah kesihatan akibat demensia.

“Saya terpaksa pulang ke Malaysia pada Ogos tahun lalu kerana bapa tidak sihat. Dua bulan kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir. Saya berada di sisi bapa sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya.

“Sebelum bapa meninggal, saya sempat menjaganya dan menyiapkan tesis di sebelah katilnya,” katanya.

Biarpun perjalanan Dr. Hanis menyempurnakan pengajian bukanlah sesuatu yang mudah, namun segala tekad dan pengorbanannya akhirnya terbalas apabila berjaya menyempurnakan PhD tanpa pembetulan.

Dr. Hanis juga menjelaskan, kejayaan yang dilakarnya itu adalah hasil daripada bantuan dan dorongan banyak pihak.

Tanpa sokongan suami tercinta, anaknya, keluarga dan pihak USIM, dirinya mungkin tidak meraih kejayaan tersebut.

“Suami saya, Dr. Mohd Hanafi Abdul Habir menjadi individu penting kerana sanggup menemani saya untuk menyambung pengajian, membantu menguruskan rumah serta anak dan memberi semangat kepada saya.

“Tanpa dia di sisi, mungkin saya tidak dapat sempurnakan PhD tanpa sebarang pembetulan ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Dr. Hanis menitipkan penghargaan terima kasih kepada pihak USIM yang membantunya dari segi kewangan sepanjang pengajian.

Pelbagai bantuan disalurkan oleh USIM termasuk memberikan gaji dan elaun keluarga sepanjang empat tahun di United Kingdom. Dr. Hanis juga mendapat bimbingan tambahan daripada guru strategi penulisan master dan PhD, Dr. Mohd. Khairul kerana membantu menghasilkan tesis cemerlang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN