fbpx
MEREKA dijangkiti akan mengalami demam yang tinggi, batuk, selesema, keletihan melampau dan sakit kepala teruk. - GAMBAR HIASAN

Influenza A penyakit kayangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENULARAN wabak influenza sejak seminggu lalu di institusi pendidikan terutama sekolah rendah menunjukkan trend peningkatan.

Setiap hari pasti ada ibu bapa yang melaporkan anak mereka positif influenza A. Jika seorang sudah dijangkiti tidak mustahil seisi rumah turut sama dijangkiti. Begitu juga putarannya di sekolah.

Ini kerana, influenza adalah penyakit disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti saluran pernafasan dan boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan atau serius.

Wabak ini merebak melalui titisan salur pernafasan apabila seseorang itu bercakap, batuk atau bersin.

Mereka yang dijangkiti akan mengalami demam yang tinggi, batuk, selesema, keletihan melampau dan sakit kepala teruk.

Menerusi perkongsian di media, gelombang kluster baharu ini turut menyaksikan 34 Maktab Rendah Sains Mara diarahkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Langkah itu diambil susulan setiap MRSM berkenaan dilaporkan mencatatkan jangkitan influenza melebihi 50 kes.

Selain itu, pelajar tingkatan satu hingga empat di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh dan Machang, Kelantan turut mengikuti sesi PdPR bagi memutuskan rantaian wabak di institusi itu.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, semua negeri menyaksikan peningkatan kes dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sabah minggu lalu.

Majoriti kluster dilaporkan berlaku di sekolah menengah diikuti sekolah rendah, tadika dan sekolah swasta.

Di media sosial, pengguna bukan sahaja berkongsi mengenai kesakitan yang ditanggung kerana influenza tetapi caj rawatan yang tinggi perlu dibayar mereka iaitu antara RM200 hingga RM400 setiap seorang di klinik swasta.

Bayaran itu termasuk ubat demam, selesema, batuk, ujian saringan serta ubat antiviral yang kebiasaannya berharga antara RM100 hingga RM170 untuk lima hari rawatan. Penulis juga dikenakan caj RM320.

Ini demam paling ‘mahal’ atau orang panggil kayangan. Lagi ramai dijangkiti, kos lebih tinggi perlu dikeluarkan. Berbanding demam biasa, caj sekitar RM20 hingga RM40 sahaja.

Influenza berlaku sepanjang tahun di Malaysia dengan kemuncaknya pada bulan Mei hingga Julai dan November hingga Januari.

Melihat situasi ini, semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab bersama. Ibu bapa tidak perlu menunggu penggumuman tutup ‘sekolah’ oleh Kementerian Pendidikan sebaliknya bertindak demi keselamatan anak.

Pelajar-pelajar akan mula bercuti hujung minggu ini selama lima hari berikutan sambutan Deepavali. Seperti kebiasaan pasti ada pergerakan besar-besaran, percutian keluarga atau jemputan kenduri.

Berdasarkan jangkaan Lembaga Lebuhraya Malaysia, sebanyak 2.67 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya pada hari puncak dan situasi ini memungkinkan penularan wabak jika tidak berwaspada.

Yang sakit kita atau keluarga dan yang mengeluarkan belanja juga kita, maka lakukanlah penjagaan kendiri dengan memakai pelitup muka dan mengelakkan berada di tempat sesak jika tiada keperluan. Kepada pelajar, jangan ditambah cuti dengan kuarantin lima hari. Bagi yang tidak sihat, berehatlah di rumah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN