PETALING JAYA – Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan hari ini perlu menitikberatkan usaha untuk meningkatkan kemahiran pekerja memandangkan hampir 70 peratus pekerja di negara ini tidak mempunyai kemahiran.
Pakar Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, dengan kemahiran yang terhad, adalah sukar untuk golongan tersebut memperoleh pendapatan yang selesa.
Katanya, lebih membimbangkan, sekiranya tiada usaha untuk meningkatkan kemahiran golongan tersebut mereka mungkin akan kehilangan pekerjaan suatu masa nanti apabila ia diambil alih oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Di Malaysia, hampir 70 peratus daripada kumpulan pekerja dianggap pekerja yang tidak mahir kerana mereka tiada kelayakan yang lebih daripada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau lebih rendah daripada SPM.
“Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan pendapatan golongan ini tidak meningkat sejak beberapa tahun lalu, malah (masa depan) kerjaya mereka juga sangat berisiko tinggi kerana AI boleh mengambil alih tugasan tersebut selepas ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, antara kumpulan pekerja yang berisiko termasuklah kerja-kerja pengkeranian, pengisian data dan pekerja sokongan di kebanyakan sektor.
Katanya, hampir 50 peratus kumpulan pekerja tersebut mempunyai pendapatan kurang RM2,000 sebulan.
Justeru katanya, kerajaan perlu menyediakan latihan dan kemahiran yang mencukupi supaya golongan tersebut mampu bersaing dengan kecanggihan teknologi AI sekali gus dapat melindungi pekerjaan masing-masing.
“Mungkin Belanjawan 2026 kali ini perlu mengambil kira perkara ini (latihan kemahiran) kepada semua 12 juta pekerja kumpulan ini. Mereka perlu meningkatkan kemahiran kerana ia dapat meningkatkan prospek kerjaya mereka.
“Jika tidak dilakukan, golongan tersebut boleh hilang pekerjaan pada bila-bila masa. Ini kerana berdasarkan senario di seluruh dunia, AI mampu mengambil alih lebih 90 peratus pekerjaan ketika ini.
“Ini termasuk kerja-kerja seperti akauntan, jurutera, arkitek, profesional, peguam dan lain-lainnya. Semuanya boleh diambil alih oleh AI,” katanya.















