PUTRAJAYA- Teka-teki orang ramai mengenai warna pakaian bakal digayakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat petang ini terjawab apabila baju Melayu berwarna biru cair menjadi pilihan beliau.
Berdasarkan pemerhatian Kosmo!, warna biru cair sering menjadi pilihan Anwar dalam menghadiri majlis-majlis rasmi termasuk pada pembentangan Belanjawan 2026 yang dijangka pada pukul 4 petang nanti.
Untuk rekod, pada Belanjawan 2024, Anwar memilih menggayakan baju Melayu warna ungu muda (lilac), manakala warna kelabu lembut (2025) ketika hadir ke Parlimen untuk sesi pembentangan itu.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau di Presint 11, Putrajaya bersama lebih 500 jemaah.
Selesai solat, Perdana Menteri akan bergerak ke Kementerian Kewangan untuk membawa dokumen Belanjawan 2026 untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 petang ini.
Belanjawan 2026: Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat dijangka menjadi penanda aras penting bagi kesinambungan dasar ekonomi Madani yang bukan sekadar menekankan angka fiskal, tetapi juga nilai kemanusiaan, tanggungjawab dan kesejahteraan rakyat.
Belanjawan Madani Keempat itu dibina atas usaha kerajaan memperkukuh tatakelola bagi menoktahkan ketirisan dan mengembalikan hasil penjimatan kepada rakyat terbanyak. – KOSMO! ONLINE














