fbpx
PENGUSAHA pusat memandu menerima peningkatan pendaftaran lesen bagi motosikal, kereta susulan pelaksanaan Budi95. – GAMBAR HIASAN

Buat lesen dulu baru boleh nikmati Budi95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95) baru-baru ini menggalakkan le­bih ramai pengguna mendaftar untuk mendapatkan lesen memandu bagi membolehkan mereka menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter.

Mereka mengakui peluang menikmati subsidi RON95 seba­nyak 300 liter sebulan menarik mi­nat sekali gus mendorong mereka mendapatkan lesen memandu motosikal dan kereta.

Malah, situasi itu dibuktikan apabila pengusaha pusat latihan memandu mengakui terdapat peningkatan panggilan dan pendaftaran baharu pengguna yang ingin memiliki lesen sehingga 20 peratus sejak pelaksanaan Budi95 pada 30 September lalu.

Pengusaha mendakwa, perkara itu mempunyai asas kerana kebiasaannya pendaftaran pelajar baharu hanya meningkat selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah ada antara mereka menyesal tidak membuat lesen memandu lebih awal kerana ketika ini harga untuk lesen kelas B2 (motosikal bawah 250cc) dan D (motokar tidak lebih 3,500 kilogram) mencecah RM3,000.

Di Sungai Petani, Amran, 45, berkata, pusat latihan memandu yang diusahakannya merekodkan peningkatan hampir 10 peratus pendaftaran baharu sejak Budi95 dilancarkan.

Katanya, mereka yang mendaftar berusia antara 23 hingga 26 tahun.

“Memang ada sedikit peningkatan. Biasanya dalam satu atau dua orang sahaja yang mendaftar dalam sehari tetapi sejak 1 Oktober kami terima lima pendaftaran.

“Selain pendaftaran baharu, ramai juga yang menghubungi kami merisik harga bagi kelas B2 dan D,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Amran, Budi95 memberi impak positif kerana kebia­saannya jumlah pendaftaran baharu hanya meningkat selepas musim SPM tamat.

Tambahnya, bayaran untuk kelas B2 antara RM800 hingga RM1,000 manakala kelas D mencecah RM2,000 bergantung pakej ditawarkan pusat latihan memandu.

Di Kampar, seorang pengusaha dikenali Liew, 50, berkata, pihaknya merekodkan peningkatan lebih 20 peratus pendaftaran lesen memandu motosikal dan kereta melibatkan pemohon berumur 23 hingga 50 tahun sejak 30 September lalu.

“Kebanyakan mereka telah memiliki lesen kereta tetapi tidak mempunyai lesen motosikal. Pelaksanaan subsidi menyebabkan perlu berbuat sedemikian kerana perlu menunjukkan MyKad semasa mengisi minyak,” katanya.

Di Kota Bharu, Pengarah Urusan Akademi Memandu Kist Sdn. Bhd. (Amkist), Datin Noor Haslina Abdullah berkata, dia terus menurunkan harga pakej B2 selepas pelancaran Budi95 bagi membantu golongan B40 yang kurang berkemampuan.

Katanya, sebelum ini pakej lesen B2 ditetapkan pada harga RM540 sebelum diturunkan kepada RM390 bermula 1 Oktober lalu sehingga Disember depan.

Tambahnya, selain menurunkan harga pakej, calon-calon yang berminat untuk mengambil lesen juga boleh membayar ansuran sebanyak tiga kali iaitu RM130 untuk setiap kali bayaran.

“Tindakan itu telah membuatkan 20 calon membuat pendaftaran baharu untuk mengambil lesen B2 sejak,” katanya.

Menurut Noor Haslina, dia tidak mahu golongan B40 terlepas daripada menikmati subsidi tersebut yang mewajibkan setiap orang menunjukkan Mykad dan lesen memandu.

Sementara itu, seorang suri rumah dikenali Yati, 38, berkata, dia mahu mengambil lesen motosikal bagi memudahkan untuk membeli minyak pada harga subsidi RM1.99.

“Sebelum ini rasa tak ada ke­perluan ambil lesen motosikal sebab saya hanya menunggang motosikal untuk hantar dan ambil anak sekolah sahaja dalam kawasan kampung pada jarak ke sekolah tak sampai satu kilometer.

“Namun sekarang rasa macam menyesal pula tak ada lesen sebab tak boleh beli minyak bersubsidi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN