DALAM landskap seni kontemporari Malaysia, nama Yeo Eng Peng semakin menonjol sebagai pelukis yang mampu menghubungkan simbol budaya dengan bahasa visual moden.
Dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1975 dan berpendidikan di Kuala Lumpur College of Arts, Yeo telah lama dikenali kerana keupayaannya menyulam unsur tradisi, alam semula jadi dan identiti kebangsaan ke dalam kanvas.
Sebagai seorang pendidik seni, beliau turut membimbing generasi muda sekali gus menjadikan karyanya bukan sahaja relevan di galeri tetapi juga dalam perkembangan seni tempatan.
Menurut Eng Peng, karya terbaharunya yang dipamerkan di Capital Fine Art @ Art & Soul 2025, CIMB Artober berjudul Timeless Dialogue membawa penonton ke ruang renungan yang mendalam.
Menggunakan medium minyak dan cat air di atas kanvas bulat berdiameter 120 sentimeter (sm), Yeo memilih bentuk bulatan sebagai simbol kesatuan, keharmonian dan kesinambungan.
“Di tengah komposisi, saya menjadikan buah nanas sebagai imej utama, lambang kemakmuran dan keramahan yang sudah sekian lama berakar dalam budaya tempatan.
“Simbol ini tidak sekadar elemen visual, tetapi berperanan sebagai jambatan antara dunia tradisi yang bersifat cair dan penuh memori, dengan dunia moden yang berstruktur, tersusun, serta bercirikan abstrak,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Capital Fine Art @ Art & Soul 2025, CIMB Artober di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Eng Peng, apa yang menjadikan karya ini istimewa adalah keupayaannya mengolah pertembungan Timur dan Barat, tradisi dan moden melalui simbolisme.

Timeless Dialogue memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berada di tengah-tengah arus globalisasi, namun tetap berusaha mengekalkan akar budayanya.
Kongsinya lagi, elemen tambahan seperti bulu merak, tekstil bercorak dan rama-rama memperhalusi naratif dan melambangkan keindahan, transformasi serta identiti yang sentiasa berkembang.
Hasilnya ialah satu karya yang bukan sahaja cantik secara visual, tetapi kaya dengan lapisan makna dan tafsiran.
“Motif nanas kerap muncul sebagai tanda kemakmuran dan kemurahan hati. Pengulangan ini memberi kesinambungan kepada karya-karya saya yang terdahulu, sekali gus menegaskan pendekatan terhadap seni sebagai ruang penceritaan kolektif.
“Selain Timeless Dialogue, beberapa karya baharu lain yang dipamerkan pada tahun ini termasuk Synthesis, Fusion, Duality dan Pride, kesemuanya berformat bulat dengan teknik minyak dan akrilik di atas kanvas,” ujarnya.
Sebelum ini, Eng Peng pernah tampil dengan siri lukisan bertemakan buah-buahan tropika seperti manggis, betik dan kelapa sawit, yang dianggap sebagai cerminan kekayaan alam Malaysia.

Pameran solonya Harmony in Diversity juga telah menampilkan karya-karya yang memadukan motif budaya pelbagai kaum, daripada congkak hingga tekstil Baba Nyonya dalam gaya realisme simbolik yang digabungkan dengan elemen abstrak.
Portfolio beliau turut merangkumi karya seperti Fruitful Season dan Monarch Train, yang memperlihat kecenderungan kepada naratif transformasi serta hubungan antara manusia dan identiti kebangsaan.
Kedudukan Timeless Dialogue dalam pameran kali ini membuktikan Eng Peng sebagai seorang pelukis yang bukan sahaja berpandangan jauh tetapi juga peka terhadap isu identiti nasional.
“Melalui karya bulat ini, saya menzahirkan idea bahawa seni adalah bahasa universal yang merentas sempadan, tetapi tetap berakar pada tanah asal. Pameran kali ini juga menegaskan peranan seorang pelukis sebagai penghubung antara budaya tempatan dan wacana seni antarabangsa,” katanya.














