Kumpulan rakyat Malaysia terdiri daripada aktivis, doktor, pensyarah dan wartawan yang dalam misi belayar ke Gaza.

Lagi aktivis Malaysia belayar bawa harapan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Usaha memecah sekatan Israel ke atas Ga­za diteruskan dengan pe­nyertaan sembilan lagi sukarelawan Malaysia yang kini belayar bersama-sama armada flotila antarabangsa menuju ke wilayah bergolak itu.

Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 100 sukarelawan seluruh dunia yang menaiki 11 kapal di bawah gabu-ngan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).

Gelombang terbaharu ini menyusul ketika 23 rakyat Malaysia dari misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan kelmarin.

Ia menandakan bahawa sua­ra dunia tidak pernah berhenti dalam memperjuangkan nasih rakyat Palestin di Gaza, ketika pemimpin seluruh dunia terus mendesak agar rejim Zionis segera membebaskan sukarelawan GSF yang ditahan.

Bagi misi terbaharu ini, antara yang terlibat termasuklah doktor perubatan, ahli politik, wartawan dan aktivis antarabangsa.

Sebanyak 10 bot berlepas dari Itali pada 27 September lalu, manakala kapal layar Conscience yang turut dinaiki sukarelawan Malaysia dilancarkan dari Porto Otranto, Itali pada 30 September.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata kapal layar Umm Saad yang digerakkan FFC bersama TMTG Malaysia diwakili Dr. Maziah Mohammad yang merupakan seorang doktor perubatan.

“Sementara itu, kapal Conscience menempatkan barisan lebih besar sukarelawan negara diketuai Prof Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd. Ali selaku Ketua Misi.

“Turut serta ialah Dr. Fauziah Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, yang masing-masing berkhidmat sebagai doktor perubatan,” katanya.

Selain itu, misi tersebut turut disertai wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah universiti iaitu Prof Dr. Mohd Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Kamarul Zaman berkata, kehadiran pakar perubatan dan wartawan sangat penting bagi menyalurkan maklumat tepat mengenai krisis kemanusiaan yang sedang melanda Gaza.

“MyCARE menyeru rakyat Malaysia memberikan sokongan sepenuhnya serta menyebarkan maklumat mengenai pelayaran ini. Gaza amat memerlukan kehadiran mereka untuk memperlihatkan keadaan sebenar di lapangan,” ujarnya.

Misi ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila beberapa peserta pernah melalui pengalaman getir sebelum ini.

Untuk rekod, Dr. Fauziah merupakan wanita Malaysia pertama menyertai pelayaran ke Gaza dalam misi ‘Women’s Boat to Gaza’ pada 2016.

Dalam pada itu, FFC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dua bot yang mengibarkan bendera Itali dan Perancis telah berlepas dari Otranto, Itali pada 25 September lalu sebelum disertai kapal layar Conscience pada 30 September, lapor Anado­lu Ajansi.

Menurut FFC, kapal-kapal tersebut dijangka bergabung dengan konvoi lapan buah bot lain di bawah inisiatif ‘Thousand Madleens to Gaza’ dalam tempoh beberapa jam.

“Apabila digabungkan, ke­semua kapal itu akan membentuk armada 11 buah kapal me­nuju Gaza dengan kira-kira 100 peserta berada di atas kapal yang kini berada di perairan Crete,” jelas kenyataan itu.

FFC yang ditubuhkan pada 2008, sudah melancarkan puluhan misi kemanusiaan bagi menghantar bantuan serta menarik perhatian dunia terhadap krisis berpanjangan di Semenanjung Gaza yang dikepung rejim Zionis.

Konvoi terbaharu ini berlayar hanya sehari selepas tentera laut Israel menyerang dan merampas 42 bot yang menuju Gaza, selain menahan lebih 450 aktivis di atas kapal berkenaan.

Kosmo! semalam melaporkan, keluarga sukarelawan Malaysia yang menyer tai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) merayu agar semua aktivis yang ditahan rejim Zionis ketika berada di zon merah kelmarin diselamatkan segera.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN