fbpx
Bot ini diwarnakan hijau bagi melambangkan solidariti bersama rakyat Palestin.

‘Fun fishing’ di atas Bot Hijau Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sahabat saya, Tengku Izzudin atau ramai pemancing mengenalinya sebagai Guvnor baru sahaja membeli sebuah bot di Pulau Langkawi, Kedah. Bot miliknya yang popular di Facebook sebagai ‘Bot Hijau Langkawi’ boleh disewa untuk memancing atau bersiar-siar di perairan Langkawi.

Di Langkawi, kebanyakan pakej memancing boleh sewa peralatan seperti joran dan kekili, selain terdapat beberapa pilihan masa sewaan untuk bot-bot memancing ini.

Pertama, anda boleh menyewa untuk keluar pagi dan balik petang, pergi petang balik keesokan pagi atau pakej bermalam terus di laut.

Pilihan kedua, oleh kerana Langkawi merupakan destinasi pelancongan dan ramai pengunjung tiada masa panjang untuk memancing, maka kadar sewa bot boleh dikenakan untuk separuh hari pancingan, sama ada pergi pagi balik tengah hari atau pergi tengah hari balik petang.

Pilihan ketiga paling ramai pemancing ambil pakejnya iaitu pan­cingan untuk beberapa jam mengikut harga pakej disediakan oleh pengusaha bot pancing.
Jadi, ia lebih mudah bagi pelancong untuk merasai pengalaman memancing di Langkawi tanpa terkejar masa ke sana sini.

Bersedia awal

Memandangkan percutian keluarga ini berlangsung ketika cuti sekolah, maka segala-galanya seperti tiket kereta api dari KL Sentral ke Arau, Perlis, feri dari Kuala Perlis ke Kuah, inap desa, kereta sewa termasuk bot pancing telah ditempah awal.

Ikan tenggiri di kawasan unjam oleh trip lain.

Semuanya tiada masalah kecuali kami tidak dapat menentukan cuaca. Kebetulan dua tiga hari sebelum trip, angin dan hujan lebat melanda Langkawi hingga laut kuat bergelora.

Pada Hari Malaysia lalu, akhirnya hari yang dinanti-nantikan tiba, semua seronok hendak naik bot keluar ke laut kerana ini merupakan pengalaman pertama di Langkawi.

Bot bertolak dari Jeti Pelancongan Kuah. Nasib baik angin sedikit reda pagi itu. Walaupun rancangan asal hendak ke kawasan unjam kerana diberitakan ada kehadiran tenggiri, namun saya awal-awal sudah menyarankan kepada kapten bot, Along supaya tidak keluar terlalu jauh.

Cukup di kawasan pulau-pulau yang terlindung angin jika laut luar beralun kerana dikhuatiri ada ahli keluarga yang tidak tahan mabuk laut, dan ini bakal menjadi trauma kepada mereka.

Apabila bot melepasi perairan terbuka antara pulau-pulau, terasa angin menderu kuat dan dari kejauhan sudah kelihatan alun di laut luar. Jadi, kami membatalkan hasrat ke unjam dan mencuba di pinggir pulau-pulau kecil yang terlindung.

Kami pula tidak sempat membeli sebarang umpan, jadi semua orang hanya jigging dan casting gewang.

Kebetulan kapten memberitahu, dia ada melihat kumpulan ikan bandang atau dikenali sebagai ladyfish bermain dalam minggu tersebut.

Saya sememangnya sudah sedia set pancing layang untuk ikan, jadi kami cuba menunggu di lokasi ia frenzy, tetapi tidak muncul.

Mungkin cuaca yang mendung sepanjang pagi menyebabkan ia pasif kerana ikan ini diketahui aktif meligan kumpulan anak-anak ikan dengkis ketika cahaya matahari terik.

Ini kerana, ia berpandukan bayang-bayang ikan tersebut untuk memburunya.

Estuari Sungai Selat

Apabila tiada tanda-tanda yang positif daripada ikan, tekong berpindah ke Sungai Selat yang terletak di antara Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting.

Lokasi ini merupakan kawasan estuari dan terkenal dengan ikan siakap merah serta siakap putih.

Kami menelusuri sungai naik hingga ke hulu sejauh beberapa kilometer.

Eka dengan ikan cermin yang diperoleh berhampiran tiang api.

Kami tidak membawa sebarang gewang yang sesuai untuk mengilat di kawasan estuari dan hanya mengharap­kan gewang soft plastic Chasebait yang berupa udang.

Percubaan mengilat di sepanjang tebing sungai hanya menghasilkan beberapa kelibat ikan mengejar gewang, namun tiada seekor pun yang hook-up.

Ketika bot keluar dari sungai, kapten melihat keadaan angin semakin reda.

Bot terus di tuju ke kawasan unjam yang terdekat, namun sesi pancingan terpaksa disingkatkan kerana kedua-dua anak saya sudah mula mabuk laut.

Segera bot bergerak ke satu kawasan kapal karam, di situ juga kami pancing sebentar sahaja kerana jig asyik tersangkut ke struktur kapal.

Kemudian, kami berpindah lagi ke pinggir satu pulau kecil yang airnya cetek.

Di sini, kami dapat banyak ikan kerapu menggunakan gewang Chasebait tadi.

Tidak lama kemudian, air menjadi surut dan kawasan ini menjadi semakin cetek.

Kami beransur pula ke kawasan sangkar ikan berdekatan.

Kami menyasarkan ikan kerapu hibrid pula, dan kawasan target lontaran gewang serta jig adalah di tebing pulau-pulau kecil berhampiran.

Hanya sekali lontaran, jig isteri saya hampir disambar di tepi bot oleh seekor kerapu hibrid bersaiz cantik, malang­nya tidak lekat.

Melepasi kawasan sangkar ikan, kami mencuba di tiang api berhampiran jeti. Eka menutup tirai sesi pancingan kami dengan seekor ikan cermin menggunakan jig.

Walaupun tidak ada ikan-ikan bersaiz kasar yang dapat dipancing, namun saya masih berpuas hati dengan trip ini kerana dapat berjalan-jalan dan melawat banyak lokasi pancingan berpotensi di Langkawi.

Trip ini juga fun fishing sahaja, bukan?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN