fbpx
Seekor buaya tembaga seberat hampir 100 kilogram ditemui di kawasan perairan pantai Teluk Bahang di sini, Selasa lalu.

Ada lagi buaya di pantai Teluk Bahang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pakar penyelidikan hidupan liar tidak menolak kemungkinan masih ada ­spesies buaya tembaga atau nama saintifiknya crocodylus porosus di kawasan perairan Teluk Bahang di sini, susulan penemuan seekor reptilia jantan itu, baru-baru ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Ma­laysia (USM), Profesor Dr. Shah­rul Anuar Mohd. Sah berkata, kajian saintifik telah membuk­tikan bahawa buaya tem­baga mempunyai keupayaan luar bia­sa dan berupaya merentas laut sejauh ratusan kilometer.

Menurutnya, buaya tembaga sememangnya berasal dari ha­bitat muara sungai dan paya ba­kau selain disenaraikan sebagai Hi­dupan Liar yang Dilindungi Se­penuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Penemuan buaya tembaga di kawasan pantai itu tidak meno­lak kemungkinan wujudnya bua­ya lain yang turut berupaya berbuat demikian.

“Walau bagaimanapun, kepastian hanya dapat diperoleh me­la­lui tinjauan di lokasi serta pe­man­tauan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya kepada Kos­mo! di sini, semalam.

Dalam pada itu, jelasnya, bua­ya tembaga sememangnya bera­sal dari habitat muara sungai dan paya bakau, namun berdasarkan kajian pula menunjukkan spesies itu memanfaatkan arus permukaan laut untuk bergerak jauh dengan lebih berkesan.

“Oleh itu, penemuan seekor buaya di Teluk Bahang boleh dijelaskan sama ada haiwan itu sedang mengikuti arus laut semasa atau sedang berpindah secara semula jadi untuk mencari kawasan jelajah baharu.

“Berdasarkan pergerakan eko­logi, buaya menjadikan laut sebagai laluan atau ‘koridor’ untuk berpindah antara muara, sungai atau habitat lain. Walaupun laut bukan habitat kekalnya, ia tetap berperanan sebagai ruang transit yang digunakan untuk survival,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai sta­tus keselamatan pantai Teluk Bahang, beliau berkata, kawasan pantai itu tidak semestinya dianggap berbahaya secara kekal kepada pelancong.

“Kehadiran seekor buaya tem­baga dewasa di kawasan tersebut memang menimbulkan risiko, na­mun tindakan pantas pihak ber­kuasa menangkap haiwan ber­kenaan serta langkah pe­man­tauan berjaya me­ngurang­kan ancaman dengan cepat.

“Oleh itu, kawasan itu masih boleh dikunjungi, dengan syarat pelancong sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.

“Walaupun kemunculan bua­ya di pantai popular di Pulau Pinang itu adalah jarang berlaku, tetapi ia tetap berkemungkinan dan perlu ditangani dengan pemantauan serta langkah berjaga-jaga yang sesuai, pada masa hadapan, sekiranya kemunculan seperti ini menjadi lebih kerap,” katanya.

Tambahnya, pemantauan ber­kala oleh Jabatan Perlindungan Hi­dupan Liar dan Taman Nega­ra (Perhilitan) serta kerjasama orang ramai dalam melaporkan se­ba­rang penemuan mampu mem­berikan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pe­ngun­jung dan penduduk setempat.

Selasa lalu, penduduk kawa­san Teluk Bahang gempar de­ngan penemuan seekor buaya yang muncul di kawasan pantai Teluk Bahang, kira-kira pukul 3.30 petang.
Reptilia seberat hampir 100 ki­logram itu akhirnya berjaya di­tang­kap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) de­ngan bomba, polis dan nelayan pantai kira-kira pukul 6.15 petang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN