fbpx
Gambar hiasan

Suami berhutang, isteri jadi mangsa, tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Isteri terpaksa bergolok-gadai selepas suami, seorang penjawat awam, dibebani hutang bank hingga berdepan tindakan muflis. Kisah ini membuka mata masyarakat tentang peri pentingnya wanita mempunyai pendapatan sendiri.

Apa yang bermula dengan kehidupan tampak mewah, berbekalkan gaji tetap dan elaun bulanan, akhirnya runtuh akibat beban hutang.

Fenomena ini bukanlah kes terpencil. Malah, laporan Bank Negara Malaysia pernah mengingatkan bahawa tahap keberhutangan isi rumah di negara ini masih tinggi, termasuk pinjaman peribadi, kad kredit dan pembiayaan kenderaan.

Dalam keadaan sebegitu, wanita meskipun bukan penjamin hutang, tetap terkesan kerana terpaksa menanggung sara hidup serta keperluan anak-anak apabila pasangan gagal mengurus kewangan.

Pengerusi Pertubuhan Wa­nita Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor (Pernita), Noor Harnani Buang berkata, keputusan berhenti kerja selepas berkahwin adalah satu ‘perjudian besar’ kerana mendedahkan wanita kepada risiko hilang kestabilan kewangan.

“Sebagai seorang isteri dan ibu, apabila kita berhenti kerja, kita melepaskan sumber pendapatan sendiri dan menyerahkan masa depan hanya pada suami. Jika berlaku krisis, wa­nita berisiko hilang kestabilan kewangan dan sukar berdikari,” katanya kepada Kosmo!

Katanya, dunia hari ini tidak lagi ramah kepada wanita yang hanya bergantung kepada pasangan kerana kos sara hidup makin meningkat dan persaingan pekerjaan makin sengit.

“Wanita yang bergantung sepenuhnya mudah terdedah kepada tekanan jika suami hilang kerja, jatuh sakit atau lalai tanggungjawab. Inilah antara punca ramai wanita akhirnya mengalami depresi kerana tidak tahu kepada siapa ingin meluahkan,” katanya.

Situasi hutang tidak terkawal bukan sahaja menjejaskan suami sebagai peminjam, tetapi turut memusnahkan emosi, kewangan dan maruah isteri.

Noor Harnani menekankan bahawa hutang bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya ia mampu mengheret wanita ke dalam tekanan mental, membebankan keluarga dan menjejaskan kehidupan seharian.

Beliau menyarankan wanita untuk membina simpanan kecemasan sebelum memikirkan pelaburan atau perlindungan takaful.

“Tiga-tiga penting, tetapi asasnya ialah simpanan kecemasan. Inilah yang banyak membantu menampung ekonomi keluarga ketika susah. Selepas itu barulah fikirkan pelaburan dan takaful untuk masa depan,” katanya.

Katanya, kekuatan kewangan mampu menjadi benteng buat wanita untuk membuat keputusan berani, melindungi anak-anak serta keluar daripada kitaran penderaan.

“Kewangan adalah senjata. Wanita yang ada pendapatan atau simpanan lebih berani membuat keputusan, melindungi anak-anak dan keluar daripada kitaran penindasan. Walaupun mental mereka sakit, kebiasaannya wanita tetap kuat kerana anak-anak,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa keupayaan wanita berdikari dari segi kewangan bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan mendesak dalam menghadapi cabaran semasa.

“Realitinya, hutang tidak hanya menjerat si peminjam. Kesan berantai turut menimpa pasangan, anak-anak bahkan maruah keluarga,” ujarnya.

Di sebalik kisah ini, jelas bahawa kestabilan kewangan wanita bukan lagi satu isu pilihan peribadi, sebaliknya satu keperluan asas dalam mendepani risiko hidup yang tidak menentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN