KUALA LUMPUR – Kemasukan pekerja asing yang tidak menjalani saringan kesihatan secara telus bukan hanya berisiko membawa masuk pelbagai penyakit berjangkit, malah turut memberi kerugian kepada negara.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, antara penyakit yang berisiko ialah tuberkulosis (TB), hepatitis, HIV, malaria dan beberapa penyakit lain yang sepatutnya dapat dikesan lebih awal melalui proses saringan.
Katanya, pekerja asing yang sudahpun menghidap penyakit kronik akan memerlukan rawatan segera yang mungkin ditanggung oleh majikan.
“Dalam kes tertentu, rawatan pekerja asing akan ditanggung oleh sistem kesihatan awam sekiranya mereka tidak mampu membayar kos perubatan.
“Keadaan ini bukan sahaja membahayakan kesihatan masyarakat, malah memberi kerugian kewangan serta-merta kerana kos rawatan penyakit serius bukanlah murah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mengulas mengenai data semasa, Dr. Zainal berkata beliau tidak pasti mengenai angka terkini, namun mengakui terdapat peningkatan kes penyakit berjangkit yang dibawa oleh pendatang asing sekitar lapan tahu lalu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu lebih ketat dalam melaksanakan penguatkuasaan saringan kesihatan terhadap pekerja asing sebelum mereka dibenarkan bekerja di Malaysia.
“Polisi saringan perlu tegas kerana ia membabitkan keselamatan rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi jika pekerja asing berkenaan tidak memiliki vaksinasi yang lengkap,” ujarnya.














