fbpx
TIDAK seperti buli fizikal yang jelas kelihatan, buli senyap berlaku secara halus sekali gus memberi kesan psikologi dan emosi berpanjangan kepada mangsa. - KOSMO! ONLINE

Jangan ajar mangsa buli ‘lawan balik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI ibu bapa tidak sedar penderaan emosi dihadapi anak yang berdepan masalah buli senyap oleh rakan mereka di sekolah.

Tidak seperti buli fizikal yang jelas kelihatan, buli senyap berlaku secara halus sekali gus memberi kesan psikologi dan emosi berpanjangan kepada mangsa.

Bahkan membimbangkan apabila trauma dilalui anak ini dibawa hingga ke alam dewasa, tambah lagi tiada sokongan daripada ibu bapa yang tidak menyedari berkenaan buli senyap ini.

Selain pelajar sekolah, buli senyap juga boleh terjadi kepada pekerja atau ahli keluarga. Hakikatnya, ia kerap dipandang ringan selain dianggap bukan isu serius.

Berdasarkan penerangan Public Health Malaysia (PHM), antara perbuatan buli senyap ini termasuk suka membuat lawak mengaibkan orang, pandai manipulasi kawan, bermain kasar, tetapi dikatakan gurauan selain ketua kumpulan pilih kasih.

Perbuatan lain termasuk menegur kesalahan, tetapi memilih mangsa, pandai menutup kesalahan selain membuatkan kawan merasakan terhutang budi.

Ada dalam kalangan anak-anak hanya mendiamkan diri serta tidak bercerita kepada ibu bapa bahawa mereka turut dibuli di sekolah, disebabkan takut atau bimbang jika ia disampaikan.

Respons negatif oleh segelintir ibu bapa turut menjadi faktor anak tidak mahu bercerita masalah buli senyap yang dihadapi dan akhirnya dia hanya memendam sehingga menjadi trauma.

Malah, ada juga ibu bapa langsung tidak bertanya rutin anak-anak di sekolah menjadi faktor mereka berat mulut untuk berkongsi masalah.

Ia diakui oleh Pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan remaja, Dr. Noor Aishah Rosli bahawa anak-anak suka memendam rasa lebih-lebih lagi ada ibu bapa tidak berkomunikasi secara dua hala dengan mereka.

Menurutnya, biarpun untuk pertanyaan ringan seperti hal berkaitan makan, kesihatan atau di sekolah, ibu bapa tidak pernah mengambil tahu perkara berkenaan disebabkan sibuk bekerja.

“Ada juga ibu bapa beri respons supaya anak mereka melawan balik pembuli berkenaan. Nak lawan balik macam mana sebab anak akan diserang lagi di sekolah, ini bukan kem jangka masa pendek.

“Anak-anak ini berada di sekolah dalam tempoh panjang dan sekiranya diajar untuk ‘tumbuk balik’, ‘lawan balik’, ia tidak habis di situ,” katanya.

Justeru beliau mencadangkan kepada ibu bapa dan guru untuk menyelesaikan buli senyap ini dengan memastikan murid terlibat menjalin hubungan baik sebagai kawan.

“Kita cari jalan macam mana mereka yang membuli ini berkawan dengan anak kita. Bagaimanapun, ia bergantung kepada tahap buli yang dihadapi anak tersebut.

“Kejadian buli ini mesti ada sebab dan sebagai orang dewasa, kita jangan pula terus naik angin. Bila kita rasional, ambil pendekatan mengatasi masalah ini,” katanya.

Katanya, guru mempunyai tanggungjawab untuk mengetahui setiap murid di dalam kelasnya dengan sering bertanya keadaan mereka.

“Mungkin boleh disarankan kepada murid menyerahkan nota misalnya, sekiranya mahu memberitahu sesuatu. Itu antara cara kita ambil tahu keadaan murid-murid di dalam kelas,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN