fbpx
SUASANA laluan menuju ke post pemeriksaan imigresen dan kastam Malaysia di Stesen KTMB Padang Besar kelmarin.

‘Lebih RM50 juta duit kita mengalir ke Siam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NARATHIWAT, THAILAND – Mu­sim cuti kali ini ternyata menjadi syurga duit buat peng-usaha dan peniaga di sini apabila diserbu kira-kira 200,000 rak­yat Malaysia yang membelanjakan kira-kira RM50 juta untuk membeli-belah dan berist­i­rehat sepanjang minggu ini.

Kebanyakan mereka bercuti di empat wilayah di Selatan Thailand terutama di Hatyai dekat sini sempena Hari Malaysia dan se­rentak cuti persekolahan.

Pre­siden Persatuan Perdaga­ngan dan Pelancongan Halal Thai­land-Asia Tenggara (Tahta) Aida Oujeh berkata, jumlah itu berdasarkan tempahan lebih 120,000 bilik hotel, vila dan resort di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.

Menurutnya, kira-kira 90 hingga 95 peratus daripada keseluruh bilik pusat peranginan itu telah ditempah menjelang cuti sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

“Berdasarkan kategori satu bilik yang boleh memuatkan dua orang, seramai lebih 200,000 pelancong Malaysia akan melawat Selatan Thailand.

“Jumlah itu memberi pula­ngan besar kepada sektor perkhidmatan hotel dan restoran dengan pelancong dijangka membelanjakan 4,000 baht (RM522) setiap orang untuk sewaan bilik, makan minum dan pengangkutan dalam tempoh tiga hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Aida, Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand melaporkan bahawa lebih 100,000 pelancong dari Malaysia melawat negara ini pada 31 Ogos lalu.

Tambahnya, keadaan itu menjadikan jumlah pelancong Malaysia ke Thailand melebihi tiga juta orang bermula Januari hingga Ogos tahun ini.

“Laporan itu menunjukkan bahawa Thailand menjadi destinasi yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong Muslim. Laluan pelancongan yang menghubungkan Malaysia dan Thailand, termasuk negara Islam di selatan Thailand, sentiasa popular,” katanya.

Ujar Aida, Jabatan Pelancongan telah membangunkan satu panduan untuk memandu sendiri laluan pelancongan bagi membangun dan mengembangkan laluan pelancongan Thailand dengan negara jiran ASEAN.

Sementara itu, pengusaha van dari Pattani, Ramli Ibrahim berkata, semua 3,000 van pelancong dari wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla telah habis ditempah bermula 13 hingga 16 September.

“Susah untuk cari van pelancong bagi beberapa hari akan datang. Semua habis ditempah selama tiga hari oleh pelancong Malaysia.

“Kami akan mula mengambil mereka pada Sabtu ini (13 September) di Sungai Golok, Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar,” katanya.

Ramli memberitahu, dia terpaksa menolak tempahan pelanggan dari Pulau Pinang kerana tidak mampu menyedia­kan van dan bilik hotel untuk mereka di Hatyai.

Beliau yang bekerja di bawah Amanah Travel mengenakan caj sebuah van antara 8,500 baht (RM1,126) hingga 11,500 baht (RM1,524) bagi tempoh tiga hari ke Hatyai, Krabi atau Phuket.

Pengusaha restoran Narathiwat, Suraya Harun atau lebih dikenali Kak Ya memberitahu restoran Khok Khian di daerah Mueang miliknya sentiasa menjadi tumpuan pelancong Malaysia untuk menikmati budu nyiru dan pulut hitam durian.

“Peniaga di sini banyak bergantung kepada pelancong Malaysia. Mereka merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan sempadan dan merupakan sumber pendapatan penting bagi ekonomi Thailand secara keseluruhan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN