KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong selepas meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama di Hong Kong Coliseum sebentar tadi, pasangan No.20 dunia itu menewaskan pilihan ketiga dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-19, 23-21.
Walaupun turun sebagai pemain bukan pilihan, namun Arif-Roy King menampilkan aksi cukup meyakinkan di kedua-dua set permainan sebelum menang dalam tempoh 43 minit.
Aksi dipamerkan kedua-dua pemain jelas menunjukkan bahawa mereka masih kekal dengan prestasi cemerlang, sama seperti dipamerkan pada Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu.
Biarpun pemain lawan cuba melakukan kebangkitan, terutamanya di set kedua, namun Arif-Roy King kekal fokus sebelum memastikan kemenangan dan mara ke pusingan seterusnya.
Menjelang pusingan kedua nanti, mereka akan menantikan pemenang perlawanan antara satu lagi beregu negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri dan pasangan veteran Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.
Sebagai rekod, Arif-Roy King sudah memiliki satu gelaran pada saingan musim ini selepas memenangi kejohanan Terbuka Macau awal bulan lalu.
Turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang menewaskan pasangan tuan rumah, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying 21-15, 17-21, 21-12. – KOSMO! ONLINE














