fbpx
Prof. Datuk Dr. Azlinda (tengah) pada sidang akhbar khas di Kementerian PendidikanTinggi di Putrajaya semalam.

Sistem UPUOnline telus, kemasukan pelajar ikut prinsip meritokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan proses permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam melalui sistem UPUOnline kekal dilaksanakan secara telus dan sistematik dengan melibatkan prinsip meritokrasi tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

Dalam konteks ini, kemasukan pelajar dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon layak mengikut merit tertinggi hingga terendah, sekali gus memastikan peluang adil kepada setiap calon tanpa mengira latar belakang.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman berkata, keputusan UPUOnline sebenarnya dijana menggunakan sistem sejak bertahun lamanya berdasarkan pemarkahan merit ditetapkan mengikut kursus atau program dipohon.

Kata beliau, proses saringan UPUOnline juga bersifat anonymous atau tiada nama dipaparkan semasa pemilihan memandangkan ia dibuat berdasarkan kepada nombor siri permohonan.

“Pemilihan berdasarkan kepada konsep anonymous menggunakan nombor siri pemohon yang mana dibuat secara telus, sistematik, berstruktur dan tidak ada campur tangan manusia.

Keputusan UPUOnline dilaksanakan secara adil dan telus tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

“Setiap tahun, kita terima permohonan ratusan ribu, jadi kita tidak sempat untuk pergi satu persatu. Apabila kita tawarkan kepada pelajar, kita tidak kenal pun mereka.

“Jadi, melihat kepada keadaan ini, KPT ingin menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada selain pada masa sama terbuka menerima sebarang pandangan dan penambahbaikan,” katanya pada sidang akhbar khas di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Prof. Azlinda berkata demikian sebagai memberi respon kepada persoalan dibangkitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengenai kegagalan seorang pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti awam meski­pun memperoleh pencapaian akademik tertinggi.

Untuk rekod, pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) itu dilaporkan memperoleh keputusan penuh 4.00 CGPA dengan markah kokurikulum 9.9/10 serta merit keseluruhan 99.90 peratus.

Susulan itu, mengulas mengenai situasi pelajar berkenaan, Prof. Azlinda berkata, berdasarkan semakan sistem, pelajar itu hanya memohon empat program perakaunan di empat universiti awam dan bukannya enam seperti didakwa sebelum ini.

“Selepas proses pemilihan dijana oleh sistem, beliau berjaya ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka negara yang merupakan pilihan ke-5 beliau sendiri.

“Walaupun beliau mendapat PNGK 4.00 dalam STPM dan markah kokurikulum 9.90 yang menjadikan merit beliau adalah 99.90 peratus, namun ranking permohonannya dalam program perakaunan berada bawah pelajar memperoleh merit 100 peratus,” katanya.

Bagi kes permohonan pelajar itu di Universiti Malaya (UM), Prof. Azlinda berkata, permohonan yang layak ialah sebanyak 2,291 orang dengan seramai 1,127 orang memperolehi merit 100 peratus.

“Pelajar berkenaan berada di kedudukan 1,129 dan UM menyediakan 85 tempat sahaja untuk diisi.

“Dalam hubungan ini, calon telah ditawarkan tempat berdasarkan pencapaian merit dan pilihan program yang dipohon, sama seperti calon lain.

“Mengikut data dibentangkan, ramai calon mendapat markah PNGK 4.00 dengan merit 100 peratus, namun pelajar terbabit hanya mempunyai merit 99.90 peratus dan kedudukan ranking juga jauh daripada kelompok pelajar PNGK 4.00,” katanya.

Pada masa sama, Prof. Azlinda berkata, KPT turut memberi jaminan kepada semua pelajar STPM dan setaraf yang memohon melanjutkan pengajian di IPTA dengan PNGK 4.00 layak mendapat tempat pengajian.

“Berdasarkan rekod, sejumlah 1,255 orang calon lepasan STPM dengan PNGK 4.00 (71 orang aliran Sains dan 1,184 orang aliran Sastera) telah memohon, di mana 1,249 orang calon ditawarkan tempat,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai tawaran bersyarat melalui saluran terbuka UM diterima pelajar berkenaan dengan yuran berjumlah RM83,800, Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, ia telah dimohon pelajar itu sendiri.

“Saluran terbuka tidak boleh diberikan secara automatik, sebaliknya ianya perlu dimohon.

“Jadi, dakwaan yang mengatakan ia ditawarkan sendiri oleh UM, ianya tidak benar. Pelajar telah hadir ke UM pada 16 Julai dan membuat permohonan.

“Jadi, kita melihat semua syarat dipenuhi dan kita telah keluarkan apa yang dikatakan sebagai conditional offer yang menunjukkan calon telah memenuhi syarat, tapi tidak mengeluarkan surat tawaran hingga rayuan dikeluarkan UPUOnline,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN