Akhirnya, GT saiz double digit yang ditunggu-tunggu menghadirkan diri, jika tidak bersedia dari segi tenaga memang ‘pancit’ melayannya.

Sambut merdeka bersama ikan GT Labuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bahagian 1

Pada cuti Hari Kemerdekaan yang lalu, saya sempat turun ke Wilayah Persekutuan Labuan untuk popping ikan gerepoh atau lebih popular digelar giant trevally (GT). Satu game yang sudah lama saya tidak lakukan, dan hasilnya sungguh memuaskan hati.

Pertama kali saya turun ke Labuan adalah pada tahun 2002, bukan untuk memancing, sebaliknya sebagai satu hentian sebelum bertolak ke perairan Spratly dengan bot besar. Kawasan terumbu sekitar Pulau Layang-Layang menjadi tempat saya mula-mula belajar game popping, dan terus jatuh cinta dengannya.

Di perairan yang jernih bak kristal di pinggir terumbu cetek itu, saya masih ingat lagi bagaimana sekumpulan lima ekor ikan GT mengejar popper saya. Seekor demi seekor GT dengan warna badan yang kusam keperakan bertukar gelap kehitaman apabila mula memecut untuk membedal popper dimainkan.

GT pertama tidak sempat me­nerkam, diikuti dengan ikan kedua yang juga miss popper Yozuri Bull GT warna ungu. Tetapi tidak buat GT ketiga yang terus menelan keseluruhan popper dalam jarak 12 kaki sahaja dari bot.

Letupan hentamannya yang begitu dekat, nyaris membuatkan joran saya terlepas dari genggaman kerana sistem drag kekili yang disetkan hampir maksimum. Sebaik ikan itu dinaikkan, popper hancur dan sebahagian besar salutan warnanya tanggal hingga menampakkan kayu terasnya.

Bukan sahaja tangan menggigil, bahkan keseluruhan badan saya juga turut bergoyang kerana pengalaman yang begitu menakjubkan itu.

Sejak itu, saya pasti akan membawa set popping ke lokasi-lokasi yang diketahui ada GT seperti di perairan Spratly dan Luconia, Pulau Jarak, Tukun Perak dan destinasi di luar negara, Maldives. Ada trip yang berjaya dan banyak juga trip yang berakhir dengan kehampaan, tetapi itulah cabaran dan keseronokannya

Namun lama-kelamaan, minat saya terhadap game popping ini beransur-ansur berkurangan kerana komitmen terhadap game pancing yang lainnya seperti casting, jigging dan pancing layang.

Sebab yang lain, populasi ikan GT sudah berkurangan dan rakan-rakan seperjuangan juga ramai sudah pencen.

Bermula semula

Bertitik tolak daripada kejayaan sahabat saya, Nazreen yang sudah dua kali turun ke Labuan untuk popping GT telah membibitkan semula cinta pertama saya ini.

Mengikut ceritanya, jarak yang dekat dengan darat dan kawasan terumbu cetek dan populasi GT masih banyak serta kasar-kasar saiznya membuatkan hati saya bertambah tidak keruan. Lantas, satu trip diatur sejak beberapa bulan lepas lagi.

Kelengkapan untuk popping dicari semula kerana set-set lama saya sudah tidak lagi relevan dengan teknologi game popping yang semakin canggih sekarang. Hakikatnya, banyak yang saya sudah ketinggalan dan harus belajar semula back to basic.

Popper-popper lama saya dise­longkar balik dari stor. Apabila saya rujuk ke kedai-kedai pancing, rupa-rupanya semuanya sudah jadi antik kerana tidak dikeluarkan lagi. Mereka nasihatkan saya beli baharu dan simpan yang lama sebagai koleksi sahaja.

Masalahnya, barangan popping sekarang berkali ganda lebih mahal dari dahulu, penyudahnya saya hanya beli apa yang mampu. Paling penting, dapat melempar popper seperti dahulu pun sudah baik, janji terubat rindu.

Semarang Bank

Sehari sebelum trip, Labuan dilanda angin ribut yang kuat, namun tekong memaklumkan, esok angin akan reda sedikit dan bot masih boleh keluar. Esoknya, kami bertolak dari Pantai Batu Madikar dengan bot Blue Shark Fishing Charter yang dikemudi oleh tekong Ejam.

Dari Pantai Batu Madikar mengambil masa lebih kurang satu jam untuk sampai ke lokasi popping di Semarang Bank.

Kami menempuh alun setinggi antara satu hingga dua setengah meter dengan masa hampir satu jam untuk ke Tebing Semarang (Semarang Bank) dalam jarak sekitar 22 hingga 24 batu nautika dari darat.

Sampai sahaja ke lokasi, kelihatan dari jauh barisan pelantar minyak. Perairan ini juga ada kawasan cetek kerana boleh dilihat dengan jelas batu karang di dasarnya. Bot ber­hanyut di antara kawasan cetek lebih kurang 12 meter hingga ke cerunan yang dalam lebih kurang 40 meter.

Alun masih tinggi, cuma nasib baik ia tidak pecah, popper terus dipasang dan Nazreen memulakan sesi. Tiga kali mencuba, terus dia kena strike. Perlahan-lahan ikan dipam ke bot, rupanya ia seekor ikan bluefin trevally bersaiz cantik, satu hasil popping yang tidak kami jangka sama sekali.

Saya yang sudah lama tidak popping merasakan kudrat dan urat badan pasti akan diperah, lebih-lebih lagi pinggang juga sakit akibat dilambung ombak ketika hendak sampai ke lokasi tadi.

Terasa kekok juga apabila menghayun popper dan memain­kannya sambil duduk akibat keadaan bot yang kuat beroleng.

Tidak sampai 10 kali percubaan, segala urat tangan, pinggang dan kaki sudah terasa sengal. Saya mungkin sudah bersedia dengan peralatan, tetapi tidak dengan kudrat.

Usia dan kurang bersenam juga penambah faktor keletihan.

Tetapi saya tetap bertahan, lebih-lebih lagi apabila Nazreen menaikkan GT pertama trip. 10 minit popping dan lima minit berehat, itulah rutin saya lakukan untuk mengurangkan rasa sengal di otot-otot badan.

Semakin lama, lontaran popper saya semakin dekat, henjutan untuk memercikkan air dari popper juga semakin perlahan.

Inilah yang paling dikhuatiri oleh pemancing yang memainkan popper big game iaitu ikan menghentam di saat mereka dalam kondisi kepenatan, dan itulah yang berlaku seterusnya kepada saya.

Popper saya diterjah GT dalam jarak 10 meter sahaja dari bot, nasib baik ikan tidak besar, dalam lingkungan 10 kilogram sahaja.

Sekurang-kurangnya, ia sebagai salam perkenalan dan pemanas badan, jadi tidak terlalu membebankan saya yang sudah lama tidak dibuli GT.

Namun, ikan itu sudah cukup membuatkan saya berehat panjang hingga melepasi waktu tengah hari. Hanya sekali-sekala saya popping, selebihnya saya hanya menonton tekong dan Nazreen memainkan popper mereka.

Nazreen juga menaikkan dua ekor GT lagi selepas itu.

GT double digit

Beberapa jam sebelum pulang, saya merasakan stamina saya kembali semula, walaupun urat tangan masih lagi sengal. Popper dihayun dan dimainkan, namun tiada sambaran. Saya teringatkan satu teknik lama yang selalu saya praktikkan dahulu iaitu sebaik popper jatuh ke air, tali terus dikarau laju sehingga tegang, sebelum satu henjutan kuat dilakukan supaya popper menjadi lebih bising dan memercikkan lebih banyak air.

Ia disambung dengan dua kali henjutan yang kuat, kemudian barulah lakukan henjutan perlahan dua atau tiga kali lagi.

Lakukan semula satu hingga dua kali henjutan yang kuat sehinggalah popper sampai ke bot.

Cara ini dapat menaikkan perasaan curiga GT untuk merapati popper pada henjutan kuat yang pertama hingga ketiga itu. Biasanya, ikan akan menghentam pada henjutan popper perlahan seterusnya.

Di percubaan ketiga, saya mengaplikasikan teknik ini, satu letupan yang padu berlaku pada popper saya. Saya dapat mengagak ia GT bersaiz kasar kerana hujung joran terus melengkung dan tali keluar laju pada setting drag tinggi.

Saya sembat joran secara kasar dan pendek-pendek, tiga ke empat kali supaya mata kail menusuk lebih dalam ke mulut ikan, sebelum bermulanya pertarungan yang sudah lama saya rindui. Nasib baik ikan menghentam di kedalaman 40 meter, jadi saya masih ada ruang untuk mengepam ikan menjauhi kawasan karang cetek,. Ini kerana, saya tahu tenaga sudah tidak seperti dahulu lagi.

Mencungap juga untuk menaikkan GT ini. Hasil bantuan tekong yang mencekak ekor ikan dan memegang perambut, ia akhirnya dapat dinaikkan ke bot.

Menggunakan pita pengukur, panjangnya dari hujung mulut ke bahagian pangkal cabang ‘V’ di ekor (fork length) adalah 95 sentimeter.

Ikan tidak ditimbang, anggaran beratnya mengikut panjang yang ditetapkan oleh badan perikanan antarabangsa adalah bersamaan antara 18 hingga 19 kilogram. Ikan dilepaskan semula dengan selamat.

Saya sudah cukup puas dengan tangkapan ini, sesi pancingan diteruskan lagi. Tetapi hanya miss call sahaja yang kami dapat. Jadi, sesi popping ditamatkan kerana esok ada satu lagi sesi popping iaitu pada Hari Kemerdekaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN