Sebaik sahaja bangun dari tidur pastinya rata-rata setiap individu akan mencapai telefon pintar terlebih dahulu melihat jika ada notifikasi dalam WhatsApp.
Jika ralit membaca satu persatu WhatsApp yang masuk, pastinya ada yang akan terlewat solat subuh atau bangun untuk bersiap memulakan hari masing-masing.
Begitulah kehidupan kita setiap hari, meriah sungguh dengan pelbagai ragam daripada pelbagai kumpulan WhatsApp yang pastinya setiap orang mungkin memiliki 10 hingga lebih daripada 20 kumpulan.
WhatsApp utama adalah daripada kumpulan keluarga sendiri, datuk nenek, mak ayah saudara dan sepupu sepapat, hinggalah ke setiap batang, dahan, ranting sampai ke pucuk serta daun daripada sebuah family tree.
Itu belum dikira kumpulan WhatsApp hari keluarga, konvoi cuti-cuti Malaysia, berkelah atau berkhemah dan juga rombongan bertunang dan akad nikah.
Selain itu, perkara wajib sebagai seorang pekerja, setiap individu pastinya memiliki lebih daripada lima kumpulan WhatsApp termasuk kumpulan rasmi bersama ketua-ketua jabatan hinggalah kepada lapisan organisasi paling bawah.
Lebih menarik, akan ada kumpulan WhatsApp lain dalam kalangan rakan sekerja yang satu kepala untuk mudah bergosip atau berbincang perihal pejabat.
Sebab itulah seorang teman yang baru berhenti kerja, berasa lega kerana telah keluar daripada hampir 15 kumpulan WhatsApp di tempat kerja yang terdiri daripada peringkat profesional hinggalah kepada kumpulan rakan-rakan surau pejabat.
Tenang hidupnya kini, tetapi tetap mengeluh juga kerana masih terikat dengan kumpulan WhatsApp persatuan penduduk, ahli surau dan geng briskwalk lepas subuh.
Selain kumpulan WhatsApp yang banyak, kita turut tidak dapat mengelak daripada melayan kerenah ahli-ahli di dalam kumpulan berkenaan, ada yang terlalu aktif berkongsi bahan, maklumat, berita dan tular di dalam kumpulan dan ada juga menggunakan platform tersebut untuk berniaga dan lebih menjengkelkan apabila dia menunjukkan kuasa untuk berpolitik.
Itu belum dikira berurusan dengan ahli-ahlinya yang berhati batu, ada pula yang berhati tisu, ada yang lembut ketika menulis, tetapi ada juga yang agak sarkastik dan selalu sinis.
Layankan sahaja kerenah tersebut semampu kita, jangan terlalu beremosi, berpada-pada juga bila berbual dalam kumpulan agar tidak menyebabkan sebarang perselisihan faham atau ada yang berasa kecil hati sehingga mahu mengundurkan diri.
Jadikan hubungan dengan semua ahli kumpulan WhatsApp tidak kira daripada apa juga kategori dijaga dengan baik, penuh harmoni, berbudi bahasa agar hati kita tenang selalu.
Jaga adab dan etika ketika berbual dan menjawab pertanyaan dengan sesiapapun tanpa mengira pangkat, darjat dan status B40 atau VIP, jangan biarkan seseorang menunggu dengan tanda blue tick, tetapi sentiasa memberi maklum balas meskipun dengan tanda emoji.














