PETALING JAYA – “Saya tidak terserempak dengan kumpulan perusuh, tetapi kesan ditinggalkan cukup jelas apabila stesen bas, MRT (Transit Aliran Massa) dan plaza tol dibakar.”
Itu pengalaman yang diceritakan seorang pelancong Malaysia, Batrisyia Khaidar, 25, yang baru pulang ke tanah air kelmarin bersama kakaknya selepas bercuti di Jakarta, Indonesia pada 28 Ogos lalu ketika insiden rusuhan tercetus di sana.
Menurut eksekutif pemasaran itu, walaupun tidak berada di lokasi rusuhan secara langsung, keadaan infrastruktur awam yang musnah akibat kebakaran memberi gambaran jelas tentang ketegangan yang berlaku.
“Semasa mahu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta untuk pulang ke Malaysia, perjalanan agak perlahan kerana kebanyakan plaza tol rosak akibat dibakar.
“Pihak berkuasa terpaksa menggunakan pos terminal untuk bayaran secara manual, jadi berlaku kesesakan panjang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, beberapa laluan utama di sekitar Jakarta turut ditutup sehingga memaksa pemandu e-hailing membuat pusingan jauh untuk menghantar penumpang.
“Ada satu ketika, pemandu Grab terpaksa buat pusingan U kerana ada kebakaran di hadapan. Rakyat tempatan sendiri yang menjaga lalu lintas dan menghalang kenderaan daripada melalui kawasan berbahaya itu,” ujarnya.
Bagi memastikan keselamatan, Batrisyia berkata, itinerari percutian mereka turut berubah setelah dinasihatkan pemandu tempatan supaya tidak ke kawasan tengah kota.
“Kami ikut nasihat untuk pergi ke kawasan lain seperti Cilandak dan Tangerang kerana lebih selamat berbanding tengah Jakarta,” katanya.
Batrisyia mengakui, ada ketikanya dia dan kakaknya berasa selamat, namun ada juga masa tertentu timbul perasaan bimbang sepanjang berada di Jakarta susulan demonstrasi yang berlaku di bandar itu.
Menurutnya, keadaan memerlukan dia sentiasa berjaga-jaga terutama ketika berada di kawasan tumpuan orang ramai.
“Ada masa rasa selamat, ada masa tidak. Kena sentiasa berjaga jaga setiap kali membeli-belah di kedai.
“Peniaga akan meminta kami agar melewatkan masa untuk balik ke hotel sehingga keadaan reda,” katanya.













