Ahad ini, seluruh rakyat akan meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2025. Ia adalah hari bersejarah dan detik keramat yang disambut 31 Ogos setiap tahun bagi memperingati tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957.
Ia juga sebagai memperingati perjuangan tokoh-tokoh serta pejuang tanah air yang telah berkorban nyawa untuk membebaskan negara daripada penjajah selain membuatkan rakyat lebih menghargai keamanan, kebebasan dan kedaulatan negara.
Sempena hari kemerdekaan, pelbagai program diadakan di seluruh negara setiap tahun. Sambutan di peringkat kebangsaan kali ini juga akan diadakan di Putrajaya.
Tahun lalu, lebih 100,000 orang membanjiri Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Pengunjung sanggup memenuhi lokasi perarakan sehari sebelum program berlangsung dan berkampung di Putrajaya, termasuk tidur di dalam khemah semata-mata mahu mendapat tempat yang lebih selesa bagi menyaksikan perarakan kontinjen.
Malangnya pada tahun ini kedengaran suara-suara sumbang di media sosial yang mahu memboikot sambutan hari merdeka selagi keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir belum ditegakkan.
Pelajar tingkatan satu itu maut akibat terjatuh tingkat tiga bangunan asrama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Kematiannya mencetuskan isu nasional apabila dikaitkan dengan kes buli sehingga mendapat perhatian meluas masyarakat di Malaysia, malah di luar negara yang menyatakan solidariti terhadap mangsa.
Baru-baru ini, lima remaja perempuan telah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina.
Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, yang mana perkataan itu didengari mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar
itu terganggu dengan perkataan tersebut.
Prosiding inkues juga akan berlangsung selama 19 hari bermula 3 September ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bagi menentukan punca kematiannya sama ada wujud unsur jenayah.
Isu ini turut dibawa ke Parlimen, sekali gus menunjukkan tahap keseriusan kerajaan. Pihak berkuasa pula bertungkus-lumus menyiasat kes kematiannya dan komited akan mendapatkan keadilan buat arwah Zara Qairina.
Jadi tidak wajar untuk memboikot hari merdeka. Kita marah apabila ada rakyat Malaysia yang menggantung Jalur Gemilang secara terbalik, tetapi apabila ada yang mahu memboikot hari bersejarah negara, kita diam.
Justeru, ayuh rakyat Malaysia kita terus raikan Hari Kebangsaan 2025 dengan penuh semangat patriotisme, kesyukuran serta kecintaan kepada tanah air selain menjadi wadah penyatuan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama.
Pada masa sama, solidariti terhadap arwah Zara Qairina tetap diteruskan sehingga mangsa serta keluarganya mendapat pembelaan.















