PETALING JAYA – “Jiwa saya terasa kosong, selamat jalan bidadari duniaku, semoga bertemu di syurga. Pemergian insan tersayang meninggalkan kekosongan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.”
Itu luahan seorang suami, Akmal Mohtar, 31, selepas kehilangan isteri tercinta, Nuraderrah Hasnul Hafidzan, 31, bersama bayi perempuan yang baru dilahirkan Selasa lalu.
Apa yang lebih menyedihkan, pemergian isterinya selang 11 jam selepas kematian bayi yang dilahirkan pada usia kandungan tujuh bulan di sebuah hospital di Selangor.
Menurut Akmal yang mendirikan rumah tangga dengan arwah pada 2020, dia kini tinggal bersama anak sulung mereka, Noah, 4, di Semenyih.
“Isteri mula kurang sihat sehari sebelum dimasukkan ke hospital. Pada pagi Selasa, beliau selamat melahirkan bayi kami, Nyra secara normal pada usia kandungan tujuh bulan, namun anak tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Akmal mengakui, menerima berita kehilangan anak dalam kandungan sudah cukup menghancurkan hati, namun beliau tetap berusaha kuat agar menjadi penguat semangat untuk isteri ketika itu.
Namun takdir Allah menentukan segalanya, apabila dia sekali lagi kehilangan isteri tersayang tidak lama selepas itu kerana mengalami komplikasi serius.
“Saya berada di wad ICU (Unit Rawatan Rapi) sepanjang arwah dirawat. Menyaksikan keadaannya yang semakin merosot benar-benar menyayat hati. Dan apabila tiba detik saya diberitahu bahawa isteri telah pergi buat selamanya, saya tidak mampu menahan tangisan.
“Saat itu fikiran saya bercelaru, hati terasa kosong, seolah-olah sebahagian diri saya turut pergi bersamanya, satu rasa yang sukar digambarkan,” luahnya.
Mengimbau kenangan terakhir bersama Allahyarham Nuraderrah, Akmal berkata, isterinya begitu teruja menyiapkan segala kelengkapan untuk menyambut kelahiran anak perempuan sulung mereka.
“Dia sangat teliti membuat persiapan. Wajahnya penuh keterujaan kerana itulah cahaya mata perempuan pertama kami, yang sangat diidamkan,” katanya.
Bagi Akmal, meskipun tiada pesanan khusus yang ditinggalkan, namun sifat baik, kelembutan dan kasih sayang arwah sebagai seorang isteri dan ibu akan sentiasa terpahat di hati.
Akmal mengakui, sejak kehilangan isteri, cabaran terbesar buatnya adalah menerima kenyataan semua perancangan masa depan yang dibina bersama kini tinggal kenangan.
“Setiap memori indah bersama arwah membuatkan saya sebak. Noah pula masih kecil, dia tidak faham apa yang berlaku. Apabila dia menyebut nama ibunya setiap kali bersedih, hati saya benar-benar luluh.
“Sebagai seorang Muslim, saya yakin janji Allah mengenai kedudukan wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan anak. Pengebumiannya berjalan lancar, ramai keluarga dan sahabat hadir memberi sokongan. Itu sedikit sebanyak menenangkan hati saya,” katanya.
Beliau turut bersyukur kerana kedua-dua belah keluarga serta rakan-rakan tidak henti-henti memberikan doa dan semangat.
“Buat masa ini, keluarga masih bergilir membantu saya. Tetapi saya tahu satu hari nanti saya perlu belajar menyesuaikan diri dengan rutin hidup tanpa isteri di sisi,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Akmal berkata tumpuannya kini hanyalah membesarkan Noah sebaik mungkin.
“Saya memilih untuk terus tinggal di rumah kami sendiri. Insya-Allah, dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya akan berusaha menjadi ayah dan ibu buat Noah,” ujarnya.
















