fbpx
KONFLIK keluarga dan sikap tamak selain dendam menjadi antara punca berlakukan kelewatan dalam proses tuntutan harta pusaka di negara ini. – GAMBAR HIASAN

Pusaka: Ada waris tamak sebab jaga si mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Perselisihan sesama waris sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan dendam menjadi antara punca utama kelewatan proses penyelesaian tuntutan harta pusaka di negara ini.

Lebih buruk lagi apabila ada kes yang dilaporkan melibatkan lebih 100 waris dengan kematian sebanyak 40 lapis, sekali gus memberi kerumitan kepada ge­nerasi akan datang untuk membuat pembahagian harta.

Pengarah Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua ­Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Baharuddin Aziz berkata, keadaan itu tercetus apabila ada dalam kala­ngan mereka yang tidak bersetuju dengan pembahagian faraid.

Beliau berkata, perasaan itu timbul setelah pihak terlibat tidak berpuas hati dan merasakan sumbangan mereka menjaga si mati lebih besar berbanding waris lain.

“Perselisihan antara waris sering berlaku apabila ada yang tidak bersetuju dengan pembahagian mengikut faraid atau Akta Pembahagian 1958.

“Ada juga waris enggan bekerjasama atau menganggap diri sebagai pemilik mutlak harta contohnya yang menjadi penama dalam simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Tabung Haji,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Kongsinya, stigma masyarakat yang menganggap ‘tidak sopan’ membincangkan pembahagian pusaka sejurus selepas kematian turut menyumbang kepada kelewatan berkenaan.

“Stigma tentang perbinca­ngan faraid sejurus selepas kematian sebagai ‘gelojoh’ atau ‘tamak’ harta, perlu dihapuskan.

“Ia bukan sahaja melewatkan proses tuntutan, malah boleh menyebabkan tuntutan berlapis yang rumit untuk diselesaikan generasi seterusnya apabila berlaku kematian waris terlibat.

“Pernah berlaku di Kedah melibatkan lebih 100 waris de­ngan kematian sebanyak 40 lapis,” ujarnya.

Selain itu katanya, kebanyakan masyarakat beranggapan waris paling tua atau sulung lebih berhak membuat permohonan pusaka berbanding yang lebih muda.

“Apabila permohonan hanya tertumpu kepada waris paling tua, ia menyebabkan berlaku kekangan dan kelewatan tuntutan dalam kalangan waris,” katanya.

Berdasarkan baki semasa setakat Jun 2025, Baharuddin berkata, sebanyak 46,349 kes tuntutan yang masih tertunggak dan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada tahun 2027.

Selain daripada kelewatan membuat permohonan pusaka, kes tertunggak disebabkan oleh pejabat pusaka menerima permohonan yang banyak bagi negeri-negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Selangor dan Johor.

“Contohnya negeri Selangor dan Johor yang mempunyai popu­lasi penduduk besar dan kebanyakkan individu mempunyai milikan harta yang banyak.

“Terdapat juga pemilikan nama yang ramai dalam satu hak milik khususnya tanah sawah seperti di negeri Kedah yang kebanyakan keluarga memiliki tanah daripada warisan keluarga dengan penama yang ramai dalam satu hak milik.

“Selain itu dokumen lama yang tidak jelas dan samar, pemegang Amanah yang tiada dokumen lengkap dan permohonan yang tinggi setiap tahun,” jelasnya.

Penceramah popular, Ustaz Mohd. Ihsan Mohamad Daud, berkata, melengah-lengahkan perbincangan atau pembahagian harta si mati kerana stigma ‘tidak manis’ atau atas alasan ‘kubur masih merah lagi’ adalah bercanggah dengan tuntutan Islam.

Katanya, stigma itu perlu dihapuskan dan perbincangan tentang harta pusaka perlu dilihat sebagai tanggungjawab yang perlu ditunaikan segera sejurus selepas kematian berlaku.

Tegasnya, menyegerakan pembahagian harta pusaka adalah arahan syarak untuk mengelakkan kemudaratan besar antaranya memakan dan menguasai harta dengan cara haram tanpa sedar.

“Penggunaan harta pusaka yang belum diagihkan mengikut hukum faraid tanpa persetujuan ahli waris si mati adalah haram.

“Menyewakan rumah, menggunakan wang si mati untuk kenduri atau mengambil hasil tanaman tanpa persetujuan semua waris adalah satu bentuk pencerobohan dan dilarang dalam Islam,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN