PETALING JAYA – Mana-mana individu yang menggunakan gelaran Datuk palsu boleh didakwa di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, akta tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Akta tersebut bagi membendung penggunaan tidak wajar lambang dan nama tertentu untuk tujuan komersial atau profesional tanpa kebenaran,” katanya.
Berdasarkan akta tersebut, walau apa-apa yang terkandung dalam mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis menteri mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.
Rusdi berkata, individu yang menjual ‘Datuk’ palsu pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda kerana menipu.














