fbpx
Dari kiri: Ustaz Muhammad Faheem dari Singapura, Ustaz Pengiran Ahmad Faris (Brunei), Ustaz Mohd. Hariri (Malaysia) dan Dr. Naufal (Indonesia) bergabung memberikan ibrah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

‘Meremang’ bila ummah Nusantara bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bila kali terakhir anda menonton bangsa serumpun Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei disatukan di atas pentas yang sama atas nama akidah yang satu iaitu Islam? Sepanjang hayat ini semacam hampir tidak pernah, bukan?

Sedangkan itulah titik paling jelas untuk gambarkan persamaan besar dan kesatuan antara kita, selain bangsa dan bahasa yang mungkin sedikit kompleks.

Sebab itu, penulis merasakan menonton sesi ibrah Majlis Penutup Tilawah Al-Quran dan Hafazan Antarabangsa baru-baru ini bagai memiliki satu nilai tambah apabila akhirnya ia tercipta. Syabas buat idea ini. Pada hemat penulis, benda seperti inilah yang patut ditularkan.

Ya, rata-rata kita memang sudah lama tahu majoriti di Nusantara ini beragama Islam, tetapi kita tidak sedar betapa kuatnya akidah ini telah berpasak di serata ceruk rantau bertuah ini dalam satu tontonan. Seorang rakan penulis juga memberitahu tertarik dan terkejut kerana ia satu yang tidak pernah dibuat di kaca televisyen.

Melihat empat individu dari empat negara ini berbicara tentang Islam di tanah air masing-masing memberikan keinsafan betapa hebatnya yang Maha Perkasa dalam menjadikan Nusantara ini disinari syiar Islam.

Tabik juga kepada nenek moyang kita dahulu yang begitu teguh mempertahan akidah ini dan mewariskannya untuk kita hari ini.

Berwajah dan berbahasa Melayu biarpun dengan loghat sedikit berbeza, persembahan oleh Ustaz Mohd. Hariri Mohamad Daud yang mewakili Malaysia, Dr. Naufal Zainal (Indonesia), Ustaz

Pengiran Ahmad Faris Ramadhani Pengiran Salahuddin (Brunei) dan Ustaz Muhammad Faheem Abdul Khalil (Singapura) mendapat tepukan cukup gemuruh daripada penonton. Pengacara menyifatkan ia perkongsian penuh informasi bertahap tinggi.

“Sahabat-sahabatku sekalian, dahulunya kita satu Nusantara, dari Melaka sampai ke Srivijaya, dari Sumatera sampai ke Temasik, kita membina empayar ketamadunan kita sendiri dengan bersejarah dan epik,” ungkap Mohd. Hariri penuh kobar.

“Ustaz tahu berapa pulau di Indonesia?” ujar Dr Naufal pula.

“Indonesia memiliki pulau lebih 17,000 tapi semua satu menghadap kiblat ketika solat, semua disatukan dalam Islam rahmatan lilalamin.”

Penulis mengajak kita semua renungkan, bagaimana Nusantara yang terletak jauh di Timur ini mempunyai kekuatan akidah Islam sehingga hari ini? Kalaulah dakwah Islam yang tercetus dari Tanah

Arab itu hanya kita terima atas dasar perdagangan dan ‘penukaran agama mengikut raja’, ia tidak mungkin seampuh ini, melainkan jiwa Nusantara itu sendiri sebati dengan Islam. Negara paling banyak populasi Muslim dunia juga hakikatnya di sini, bukan di Arab.

Ketika Perlembagaan Malaysia mendefinisikan Melayu itu yang beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu, memang acuan Melayu dan Islam bagai tidak boleh dipisahkan itu terlihat di serata pelosok Nusantara ini.

Bak kata Pengiran Ahmad Faris: “Kami di Brunei ada falsafah negara yang dipanggil MIB Melayu Islam Beraja. Kenapa Islam diletakkan di tengah-tengah antara Melayu dan Beraja? Ini kerana Islam menjadi teras kepada Melayu dan Beraja, Islam menjadi payung kepada Melayu dan Beraja.”

Bersatulah Melayu Islam Nusantara!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN