PUTRAJAYA – Dua individu bermotosikal yang melakukan serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, di sini, semalam dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya sedang mengesan dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.
“Kita telah mengenal pasti motosikal itu namun pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu.
“Penyerang setakat ini (dikesan) adalah dua individu namun identiti suspek masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih belum mengenal pasti cecair dalam jarum suntikan yang didakwa digunakan suspek.
“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan,” katanya.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan kejadian serangan terhadap anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pukul 2 petang, semalam.
Bagaimanapun, anaknya yang berusia 12 tahun itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Shazeli dilaporkan berkata, serangan yang dilakukan dua individu itu dilaporkan berlaku di kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan.
Rafizi semalam memaklumkan kejadian berlaku ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi tersebut dan anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan. – KOSMO! ONLINE