PETALING JAYA – Kisah dua lelaki berkahwin tiga dan empat yang disiarkan Kosmo! baru-baru ini membuatkan seorang wanita tampil berkongsi kisah hidupnya yang berpoligami dengan menjadi isteri ketiga.
Majidah Zamani, 28, berkata, segalanya bermula apabila kawan baiknya yang juga isteri pertama suaminya, Tuan Amer meminangnya untuk dijadikan madu sekali gus menjadi bukti keharmonian luar biasa dia bersama tiga wanita lain.
Katanya, hubungan akrab dia dengan isteri pertama, Beela bermula sejak sebelum dia secara rasmi menjadi ahli keluarga tersebut.
“Beela sendiri yang menyarungkan cincin pertunangan ke jari saya sebagai tanda restu dan penerimaan ikhlas daripadanya.
“Isteri pertama dan kedua turut hadir pada hari perkahwinan. Saya bersetuju untuk bermadu kerana mereka menerima saya dengan sangat baik sejak awal lagi,” katanya kepada Kosmo!
Menurutnya, meskipun dia baharu sahaja mendirikan rumah tangga, dia tetap menerima kehadiran isteri keempat, Teha, dengan hati terbuka walaupun tempoh perkahwinannya dengan suami belum mencecah usia setahun.
Tambahnya, kunci utama kebahagiaan mereka adalah kebijaksanaan suami dalam menguruskan jadual penggiliran yang adil bagi memastikan kebajikan semua isteri terjaga.
“Bab giliran masa, suami akan berbincang dengan kami dan menggunakan sistem bergilir mengikut hari untuk keadilan bersama.
“Terguris hati itu memang tiada sebab suami saya cukup pandai menguruskan kami dan menyelesaikan semua konflik,” jelasnya yang menetap di Terengganu.
Bagi mengukuhkan lagi ukhuwah antara madu, keluarga besar ini menetapkan setiap hari Jumaat sebagai waktu berkumpul di rumah isteri pertama untuk bermalam dan melakukan aktiviti bersama-sama.
“Kami akan berkumpul di rumah isteri pertama dan keluar membeli-belah. Kiranya hari itu memang khas untuk kami berempat bermadu dan suami,” tambahnya.
Meskipun sedar dengan kecaman netizen di media sosial, Majidah menyifatkan poligami sebagai satu ruang untuk memperbaiki diri menjadi isteri yang lebih solehah selain menganggap madu-madunya kini sebagai sahabat baik sendiri.
“Boleh jadi dengan bermadu itulah tiket untuk kita jadi isteri solehah dan lebih baik,” katanya.














