MELAKA – Ibu bapa di negeri ini berasa terhimpit selepas pengusaha van sekolah mula menaikkan tambang mencecah RM100 bagi seorang anak susulan kenaikan harga diesel.
Kenaikan itu sekali gus membebankan ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan perkhidmatan tersebut bagi memastikan rutin persekolahan anak-anak berjalan dengan lancar.
Seorang pekerja swasta, Mimie Azura Abu Bakar, 45, berkata, dia membayar sebanyak RM190 sebulan bagi dua anaknya berusia 12 dan sembilan tahun yang menaiki van ke sekolah.
“Kenaikan itu dimaklumkan pengusaha sejak 1 April lalu untuk bayaran pada hujung bulan ini. Sebagai ibu bapa, kami tiada pilihan dan terpaksa akur walaupun kadar ini baru sahaja dinaikkan pada awal tahun lalu.
“Bulan ini pengusaha maklumkan kenaikan RM5 menjadikan RM95 bagi setiap murid, hampir mencecah RM100 susulan peningkatan kos diesel,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, walaupun jarak perjalanan dari rumah ke sekolah hanya kira-kira lima kilometer atau 10 minit, dia dan suaminya tidak dapat menjemput anak-anak kerana kekangan kerja.
“Kami suami isteri bekerja. Pagi suami hantar anak ke sekolah, tengah hari mereka menaiki van ke pusat transit sebelum dihantar semula untuk sesi sekolah agama.
“Jika kadar van naik melebihi RM100, ia pasti menimbulkan tekanan kewangan kerana kos itu belum termasuk pusat transit sekitar RM300 seorang,” ujarnya yang menetap di Krubong.
Sementara itu, seorang ibu tiga anak, Nor Hayati Nor Muhamad, 39, berkata, dia kini membayar RM210 sebulan untuk tambang van menghantar anak-anak pulang ke rumah.
“Tambang itu untuk perjalanan balik sahaja. Anak sulung berusia 14 tahun dikenakan RM90, manakala dua adiknya RM120, bergantung kepada jarak sekolah.
“Setakat ini belum ada makluman kenaikan, namun jika berlaku, ia pasti memberi tekanan terutama kepada keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah,” ujarnya yang menetap di Bukit Katil.
Seorang bapa, Khairudin Zaidy, 39, pula berkata, dia membelanjakan RM185 sebulan untuk pengangkutan van sekolah bagi dua anaknya.
“Walaupun memahami situasi pengusaha yang berdepan kenaikan kos diesel, peningkatan tambang tetap membebankan kerana ibu bapa bekerja tiada alternatif lain.
“Jika seorang anak mungkin masih mampu, tetapi bagi dua atau tiga orang, jumlahnya menjadi tinggi setiap bulan. Kami harap ada penyelesaian atau bantuan agar ibu bapa tidak terus terbeban,” katanya.















