fbpx
Cuaca panas berpanjangan meningkatkan kandungan gula sekali gus menghasilkan rasa lebih manis.

Lagi panas, lagi umphh..

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Cuaca panas berpanjangan yang melanda negara pada masa ini bukan sahaja mempercepatkan proses kematangan buah mangga harumanis, malah meningkatkan kandungan gula sekali gus menghasilkan rasa lebih manis.

Pengarah Pertanian Perlis, Hafizuddin Othman berkata, fenomena tersebut memberi ke­lebihan kepada petani sekiranya tanaman tersebut diurus dengan baik seperti menyediakan sumber air yang mencukupi.

Katanya, cuaca panas berterusan meningkatkan proses fotosintesis akibat pendedahan cahaya matahari yang tinggi.

“Keadaan itu turut meningkatkan kandungan gula dalam buah, sekali gus menghasilkan rasa yang lebih manis dan berkualiti. Amalan pertanian baik termasuk pengurusan air yang efisien menjadi faktor penting dalam memastikan kelebihan itu dapat dimaksimumkan.

“Namun, tidak semua kawasan bernasib baik terutama ladang yang tidak mempunyai sumber air mencukupi,” katanya.

Menurut beliau, ladang yang diurus secara sistematik mampu memanfaatkan keadaan tersebut untuk meningkatkan pengeluaran serta menghasilkan buah mencapai gred premium.

Katanya, keadaan cuaca panas boleh menyebabkan buah menjadi kecut, kering dan mudah gugur sebelum matang selain saiz lebih kecil serta tidak mencapai piawaian gred A jika tidak diuruskan dengan baik.

Tambahnya, tekanan haba juga menjejaskan kesihatan po­kok dan boleh memberi kesan kepada pertumbuhan tanaman dalam jangka panjang.

Selain itu, risiko kebakaran ladang turut meningkat khusus­nya di kawasan yang kering dan terdedah.

“Sehubungan itu, petani perlu memastikan sistem pengairan yang efisien serta memantau ke­adaan cuaca dan kelembapan tanah secara berkala bagi mengurangkan risiko kerugian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN