fbpx
Tina yang merupakan Pengasas TT Education Group tidak sesekali kesal tindakannya meninggalkan kerjaya peguam untuk berjuang dalam dunia pendidikan dan kini usahanya meraih pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Wanita Pendidikan Ibu Zain 2025.

Tina bawa semangat perjuangan pendidikan Ibu Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“TITIK tolak penglibatan saya dalam bidang pendidikan lahir daripada kesedaran yang sangat mendalam bahawa pendidikan adalah senjata paling besar untuk mengubah nasib seseorang, keluarga dan masyarakat.

“Saya melihat sendiri bagaimana ilmu mampu mengangkat maruah, membuka peluang dan membina masa depan yang lebih baik.”

Demikian pandangan peribadi sekali gus memecah persoalan mengenai penglibatan pejuang, penggerak dan aktivis pendidikan negara, Tina Tajuddin, 50, dalam bidang tersebut kepada K-Wanita baru-baru ini.

Bagi bekas peguam ini, tindakan dan keputusannya meninggalkan kerjaya profesional itu demi memberi sepenuh masa memperjuangkan hal ehwal dan isu pendidikan anak bangsa di negara ini bukan satu sesalan.

Antara projek dan program pendidikan berimpak tinggi pernah dilaksanakan Tina adalah TIC Prihatin; Jelajah B40 Apprentice; Jelajah Motivasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Berimpak; Tahfiz TVET dan SPM Skor A+ yang berjaya membantu lebih 10,000 pelajar semasa Covid-19 membadai.

Berkat kesabaran bertahun lamanya dalam mendepani rencam pendidikan, anak jati Kuala Lumpur dan dibesarkan di Perak ini pernah dinobatkan sebagai Wanita Ikon Perak 2024 dan Anugerah Wanita Pendidikan Ibu Zain 2025 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi. Terbaharu, minggu lalu, Tina menerima Anugerah 100 Wanita Inspirasi Nasional.

“Bagi saya, pendidikan bukan soal sijil semata-mata. Pendidikan merupakan asas kepada pembinaan tamadun. Apabila kita mengangkat pendidikan, kita sedang mengangkat harapan, membina kepimpinan dan memperkukuh masa depan negara.

“Itulah antara sebab utama saya terus istiqamah dalam bidang ini sehingga ke saat ini,” katanya penuh bersemangat.

Suami turut
menjadi kekuatan dan tulang belakang Tina dalam setiap pencapaian dan anugerah yang diraihnya.

Berkongsi lanjut, anak kedua daripada lima beradik ini berkata, sebelum beralih tumpuan kepada pembinaan institusi dan ekosistem pendidikan, dia mempunyai pengalaman dalam bidang perundangan dan korporat.

Pengalaman tersebut katanya banyak memberi kekuatan kepada dirinya dalam aspek pengurusan, kepimpinan, disiplin, membuat keputusan dan memahami cabaran masyarakat dari pelbagai sudut.

“Hari ini, saya berperanan sebagai pengasas dan Pengerusi Eksekutif TAJ International College di samping menerajui TT Education Group.

“Pada masa sama, saya turut membawa peranan sebagai pengamal undang-undang, ahli korporat dan penggerak pelbagai inisiatif pembangunan wanita, pendidikan dan komuniti,” katanya.

Berkongsi kejayaannya dinobatkan anugerah-anugerah prestij antaranya Wanita Ikon Perak dan Anugerah Wanita Pendidikan Ibu Zain, dia yang turut dianugerahkan Usahawan Wanita Perak 2025 hingga digelar CeoMentor bersyukur atas apa yang disusun Ilahi kepadanya.

“Pengiktirafan ini amat menyentuh hati kerana ia bukan sekadar melihat kedudukan seseorang, tetapi perjalanan, usaha, cabaran dan sumbangan berterusan yang dibina selama bertahun-tahun.

“Menerima Anugerah Wanita Pendidikan Ibu Zain bagi saya merupakan satu penghormatan yang sangat besar.

“Nama Ibu Zain sendiri membawa simbol perjuangan wanita, pendidikan, keberanian dan jasa besar kepada bangsa. Maka, apabila dikaitkan dengan anugerah tersebut, saya melihatnya sebagai satu amanah yang sangat berat dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” tuturnya.

Nama Anugerah Ibu Zain 2025 dibuat bersempena nama pelopor pendidikan dan hak wanita dikenali Tan Sri Zainon Munshi Sulaiman (Ibu Zain) sekali gus anugerah itu melambangkan ketabahan, kepimpinan dan kecemerlangan wanita Malaysia.

Akui Tina, di sebalik setiap pengiktirafan itu, hakikatnya ia bukan datang dengan mudah. Ia dibina melalui pengorbanan, ketekunan, tekanan, tanggungjawab dan keyakinan untuk terus melangkah walaupun melalui pelbagai cabaran.

“Saya melihat setiap anugerah bukan sebagai titik akhir, tetapi sebagai peringatan bahawa usaha membina pendidikan dan memperkasa wanita mesti diteruskan dengan lebih ikhlas dan kuat.

“Bagi saya, anugerah yang sebenar bukan hanya trofi atau pengiktirafan di pentas, tetapi kepuasannya apabila kita dapat melihat ilmu, pengalaman dan bimbingan yang kita curahkan benar-benar membantu mengubah kehidupan orang lain,” katanya.

Bagi Tina, secara peribadi dia tidak pernah bekerja semata-mata untuk mengejar anugerah dan fokusnya sentiasa tertumpu kepada usaha membina, memperbaiki, membantu dan membuka lebih banyak ruang kepada orang lain.

Ditanya mengenai cabaran dalam apa yang diperjuangkan selama ini, ibu kepada lima cahaya mata ini memberitahu pertamanya adalah dari segi membina sistem pendidikan yang sentiasa relevan.

Jelasnya, dunia hari ini berubah dengan sangat pantas. Teknologi, industri, gaya hidup dan keperluan pelajar juga berubah.

Justeru cabarannya memastikan institusi pendidikan sentiasa bergerak seiring dengan zaman tanpa mengorbankan nilai dan kualiti.

“Kedua, cabaran memperjuangkan pendidikan dalam suasana ekonomi yang mencabar. Ramai keluarga mahukan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi pada masa yang sama berdepan kekangan kewangan.

“Maka cabaran saya ialah memikirkan bagaimana pendidikan boleh terus diakses, kekal berkualiti dan mampu memberi pulangan masa depan tanpa membebankan masyarakat,” katanya.

Tidak setakat itu, cabaran ketiga didepani Tina adalah sebagai wanita yang memimpin.

“Realitinya, wanita yang tegas kadang-kadang disalah tafsir. Wanita yang bercita-cita besar pula adakalanya dianggap terlalu kuat.

“Maka cabaran yang ramai tidak nampak ialah bagaimana seorang wanita perlu sentiasa membuktikan keupayaannya sambil tetap menjaga adab, nilai dan kestabilan emosi dalam kepimpinan. Namun saya percaya setiap cabaran itu mendidik kita untuk menjadi lebih matang, lebih kuat dan lebih jelas tentang misi hidup kita,” katanya.

Tegas Tina, keseimbangan sebenar apabila kita tahu apa yang perlu diutamakan pada masa tertentu dan hadir sepenuh hati dalam tanggungjawab tersebut. Sebagai pemimpin, isteri dan ibu, dia belajar bahawa pengurusan masa sebenarnya bermula dengan pengurusan diri, emosi dan jiwa.

Baginya, kunci utama adalah disiplin, doa dan delegasi tugas. Itu yang membantu dirinya terus melangkah dalam banyak peranan tanpa melupakan nilai, keluarga dan tujuan hidup.

Diaju mengenai isu pendidikan yang hangat diperkatakan ketika ini lebih-lebih lagi dalam mendepani krisis peperangan di Asia Barat, Tina menyifatkan apa yang berlaku mengajar manusia bahawa peperangan bukan hanya berlaku dengan senjata, tetapi boleh terjadi melalui pemikiran, naratif, ketakutan, pemiskinan jiwa dan pemusnahan masa depan sesebuah generasi.

“Sebab itu saya melihat pendidikan pada hari ini bukan lagi sekadar satu keperluan, tetapi satu bentuk perjuangan yang sangat besar. Jika ada pihak memilih untuk berperang dengan kemusnahan, maka cara kita berperang adalah berbeza, kita membina generasi.

“Jika ada yang memecahkan bumi dengan peluru dan kebencian, maka kita mesti memecahkan tembok kejahilan, ketakutan, kemunduran dan pemikiran sempit melalui ilmu, kesedaran dan kekuatan nilai,” ujarnya.

Baginya, pendidikan adalah senjata paling beradab untuk mempertahankan masa depan. Pendidikan bukan hanya melahirkan pelajar yang lulus peperiksaan, tetapi melahirkan manusia yang mampu melangkaui setiap inci pemikiran yang sempit, berani melihat dunia dengan lebih besar, lebih dalam dan lebih bermakna.

Tambahnya, apa membimbangkannya apabila perang berpanjangan, ia bukan hanya meruntuhkan bangunan sekolah atau universiti, tetapi boleh meruntuhkan keyakinan, melemahkan daya fikir dan memutuskan legasi ilmu sesebuah bangsa.

Maka, di sinilah lahirnya risiko bahawa krisis perang akhirnya menjadi krisis pendidikan dan apabila pendidikan runtuh, sebuah tamadun juga boleh ikut runtuh.

Tina dan pasukannya kini memberi fokus kepada pembangunan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif, praktikal dan menyentuh keperluan sebenar masyarakat.

Selain menerajui TAJ International College, dia juga memimpin TT Education Group iaitu sebuah kumpulan pendidikan yang merangkumi pelbagai peringkat pembelajaran dan pembangunan insan.

Di bawah TT Education Group, antara entiti yang mereka bangunkan ialah Taska Ibu Tina; Sekolah Agama/Sekolah Integrasi Ar Rahman; Akademi Latihan dan TAJ International College.

“Antara fokus semasa kami ialah pengambilan pelajar di bawah program Young Apprentice dan Tahfiz TVET sebagai kesinambungan kepada program TIC Prihatin, bagi ambilan April dan Mei.

“Program ini diwujudkan untuk membuka lebih banyak laluan pendidikan yang relevan, praktikal dan mempunyai masa depan kepada generasi muda.

“Satu lagi program yang sangat dekat di hati saya ialah Program Tahfiz TVET yang membuka laluan kepada pelajar aliran tahfiz, pelajar agama dan juga mereka yang ingin mendalami ilmu hafazan al-Quran tanpa meminggirkan ilmu kemahiran.

“Saya percaya generasi masa depan perlu dibina dengan keseimbangan antara kekuatan rohani, akhlak, ilmu dan kemahiran profesional,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN