GEORGE TOWN – Penternak lembu di Pulau Pinang masih mengekalkan harga ternakan korban antara RM5,000 hingga RM7,000 seekor tahun ini, namun terpaksa menaikkan caj penghantaran dua kali ganda susulan lonjakan harga diesel.
Seorang penternak lembu, Mohamad Husin berkata, situasi semasa kenaikan harga diesel di negara ketika ini memberi kesan kepada perkhidmatan pengangkutan lori.
“Jadi caj penghantaran mungkin naik hingga dua kali ganda daripada RM200 sebelum ini kepada RM400 setiap trip, pada jarak 30 hingga 40 kilometer.
“Pelanggan tidak perlu bimbang kerana harga lembu korban kekal seperti tahun lalu iaitu antara RM5,000 hingga RM7,000 bagi lembu bersaiz biasa,” katanya semalam.
Katanya, tempahan lembu korban pada tahun ini juga meningkat dalam kalangan pelanggan persendirian dan berkumpulan membabitkan pihak masjid.
“Setakat ini, 10 ekor lembu sudah ditempah iaitu tujuh daripada pihak masjid dan tiga lagi persendirian. Walaupun ekonomi tidak menentu tapi ibadah korban tetap dapat sambutan.
“Setiap hari saya memberi makanan silaj jagung untuk ternakan lembu. Memang jimat dan merupakan antara makanan yang terbaik. Satu beg silaj jagung seberat 25 kilogram dijual antara RM12 hingga RM13.
“Setiap hari, saya membekalkan kira-kira 50 kilogram silaj jagung yang dicampur dengan habuk padi dan hampas soya. Saya menggunakan air paip dan jarang beri lembu makan rumput hijau,” katanya.
Di Pontian, walaupun berdepan peningkatan kos operasi, kebanyakan penternak memilih untuk tidak menaikkan harga jualan bagi memastikan ibadah korban kekal mampu dilaksanakan orang ramai.
Seorang penternak, Mashudi Duki, 61, berkata, harga seekor lembu masih bergantung kepada saiz dan anggaran hasil daging sekitar 100 kilogram atau lebih.
“Bagi ibadah korban secara berkelompok, bayaran dikenakan sekitar RM850 hingga RM900 satu bahagian atau bersamaan RM5,950 hingga RM6,300 seekor.
“Setakat ini saya menerima tempahan 40 ekor lembu dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 70 ekor menjelang seminggu sebelum Aidiladha.
“Saya banyak menerima tempahan daripada jawatankuasa masjid, surau, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan serta individu,” katanya ketika ditemui di AAZ Agro Farm di Kampung Haji Ashari, Telok Kerang, di Pontian.
Dia menawarkan lembu pada harga antara RM5,950 hingga RM12,000 bergantung kepada baka seperti brahman, charolais dan limousin.

Di Kota Tinggi, penternak tempatan, Abd. Aziz Daud turut mengekalkan harga lembu kerana ternakannya dibela sendiri dan bukan diimport.
Namun, beliau mengakui caj penghantaran mungkin meningkat bagi menampung kos bahan api yang semakin tinggi.
“Harga lembu masih sekitar RM5,500 hingga RM7,000 seekor mengikut saiz. Tiada kenaikan mendadak, cuma kos penghantaran mungkin naik sedikit,” katanya.
Di Segamat, penternak pula berharap kerajaan dapat mempertimbangkan subsidi diesel bagi meringankan beban mereka.
Pemilik Abang Adik Agrofarm, Suraya Sulong, 45, berkata, diesel merupakan keperluan utama dalam operasi ladang termasuk menggerakkan jentera dan mengangkut makanan ternakan.
Katanya, walaupun harga dedak meningkat, mereka masih mampu mencari alternatif makanan seperti rumput segar dan bahan buangan pertanian.
“Namun kenaikan diesel benar-benar memberi kesan besar kepada kami kerana hampir semua operasi bergantung kepada bahan api itu,” katanya.
Suraya turut memohon agar kemasukan lembu import dapat dikawal bagi melindungi penternak tempatan daripada lambakan bekalan.
Sementara itu, Rosli Sulong pula berkata, penternak terpaksa mengekalkan malah ada yang menurunkan harga lembu demi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Harga lembu ketika ini sekitar RM5,500 seekor bergantung kepada berat dan masih berada dalam julat mampu milik,” katanya.
Kelmarin, Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung bagi tempoh 9 hingga 15 April mencecah sehingga RM6.72 seliter. – KOSMO! ONLINE














