KOTA BHARU – Keupayaan Imigresen FC (Imigresen) mempamerkan corak permainan bertenaga dengan tempo gerakan pantas ketika menentang Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam menghairankan pengendali mereka sendiri.
Ketua Jurulatihnya, Yusri Che Lah berkata, persembahan pemain-pemainnya itu dianggap sebagai pengorbanan cukup besar kerana ia berlaku dalam kerana mereka kekurangan jam latihan serta baru melalui perjalanan jauh selama lapan jam untuk tiba di Kota Bharu.
Menurut Yusri, Imigresen memang hadir dengan niat mendapatkan tiga mata penuh, malah berjaya mendahului dengan satu jaringan pada separuh masa pertama sebelum terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 dan berkongsi satu mata dengan Kelantan TRW.
“Kami hadir untuk mendapatkan tiga mata penuh tetapi keputusan seri itu yang terbaik dan saya berterima kasih kepada keseluruhan pasukan kerana berjaya memberikan persembahan terbaik walaupun hanya melalui 16 sesi latihan.
“Kalau diikutkan bilangan sesi latihan, saya sendiri tidak tahu daripada mereka (barisan pemain) dapat tenaga dan bagi saya ia pengorbanan cukup besar dari mereka,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Yusri mengakui agak risau ketika Imigresen terpaksa bertahan dengan hanya 10 pemain sepanjang lebih 15 minit terakhir perlawanan setelah kehilangan khidmat Amirali Chegini yang diperintah keluar padang kerana bertindak mengeluarkan bola dengan tangan.
“Selepas menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan TRW, kita berada dalam keadaan tertekan tetapi saya bersyukur kerana pemain-pemain tidak menunjukkan sikap takut, sebaliknya terus cuba mencari kemenangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE