fbpx
Nik Noor Azlie (kiri) menyerahkan buku Nurly Sahirah Kematian Yang Menghidupkan kepada Azman di Kampung Gong Pasir, Besut semalam.

Lelaki bipolar tulis buku kisah Nurly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) mental yang terinspirasi dengan kisah Nurly Sahirah Azman menulis buku bagi mengabadikan kisah hidup Allahyarham.

Nik Noor Azlie Raja Seman, 39, yang juga penulis bebas berkata, dia terdorong untuk menulis kisah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu selepas mengikuti perkembangan cerita Nurly di media massa dan media sosial.

Katanya, kisah Nurly seorang hafizah dan memuliakan al-Quran menjentik hatinya untuk kembali bersemangat menamatkan hafazan yang tertangguh sejak 25 tahun lalu disebabkan penyakit bipolar.

“Saya didiagnos Bipolar Type II sejak 2000. Kematian 15 pelajar UPSI termasuk Nurly akibat nahas ngeri di Gerik pada 9 Jun lalu meninggalkan kesan mendalam buat diri saya.

“Saya tidak boleh tidur lena selama seminggu apabila memikirkan kisah Nurly,” katanya ditemui di rumah keluarga Allahyarham Nurly di Kampung Gong Pasir di sini semalam.

Beliau turut menyampaikan buku bertajuk ‘Nurly Sahirah Kematian Yang Menghidupkan’ kepada bapa Nurly, Azman Mohamad, 63.

Nik Noor Azlie berkata, dia memberanikan diri bertemu Azman dan bersyukur kerana hasratnya diterima baik oleh keluarga Allahyarham.

“Sebelum memulakan penulisan, saya melakukan penyelidikan dengan menemu bual keluarganya dan mendapatkan maklumat sahih daripada Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

Buku itu berjaya disiapkan dalam dua bulan dengan cetakan awal 3,000 naskhah. Sebanyak 1,500 naskhah sudah terjual menerusi pra-pesanan termasuk dari negara jiran, manakala 200 lagi diserahkan kepada Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman iaitu sekolah Nurly.

“Saya berhasrat menyerahkan sebahagian hasil royalti buku ini kepada keluarga arwah (Nurly),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN