JOHOR BAHRU – Kebanyakan doktor dan jururawat memilih Singapura untuk bekerja dan meluaskan kerjaya bukan hanya disebabkan oleh faktor gaji lumayan, malah mendambakan kehidupan berkualiti sebagai petugas kesihatan.
Mereka mendakwa, selain gaji tinggi dan peluang naik pangkat, mereka mendapat cuti kelahiran, cuti hari raya selama dua minggu dan suasana kerja yang tidak terlampau stres.
Seorang doktor di sebuah hospital di Singapura, Dr. Nurul Ain Ibrahim berkata, imbuhan setimpal dan lumayan merupakan antara faktor utama mengapa ramai tenaga kerja mahir dalam sektor kesihatan memilih untuk bekerja di Seberang Tambak.
Katanya, imbuhan yang tinggi bukan sahaja ditawarkan oleh hospital swasta, malah mereka mendapat peluang yang sama jika bertugas di fasiliti milik kerajaan.
“Ketika mula bekerja pada 2015 sebagai doktor pelatih, gaji saya mencecah SGD$6,098 (RM20,000) sebulan.
“Selepas 10 tahun, saya bertambah seronok apabila penat lelah berhempas pula belajar dalam bidang perubatan telah menyebabkan saya mendapat gaji SGD13,115 (RM43,000) sebulan,” katanya kepada Kosmo!.
Jururawat kanan hospital swasta, Rohana Ismail mengakui selain gaji banyak, kelebihan peluang meningkatkan kerjaya antara alasan dia memilih bekerja di Singapura.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia mula berkelana di Singapura selepas bekerja selama enam tahun di sebuah hospital di Pahang.
“Saya merancang mahu ke Arab Saudi tetapi ditawarkan bekerja di Singapura pada 2011. Sehingga kini gaji saya sudah mencecah lima angka.
“Kebajikan dan kelebihan pula banyak antaranya dapat cuti hari kelahiran dan dua minggu cuti hari raya. Saya seronok bekerja di Singapura,” katanya.
Doktor pelatih, Dr. Siti Nabihah berkata, dia ke Singapura kerana peluang yang lebih luas untuk meneroka menjadi pakar.
“Singapura negara maju. Jadi dari segi pendedahan kepada teknologi terkini saya dapat banyak pengalaman dan ilmu selari dengan sistem kesihatan bertaraf dunia.
“Mereka juga menitik beratkan kepentingan pendidikan, ini memberi ruang untuk saya menyumbang serta terus belajar dalam persekitaran yang sangat dinamik dan berdaya saing,” katanya.
Menurut Siti Nabihah, selain itu dia ingin mencabar diri untuk keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu demi kemajuan kerjaya dan pembangunan peribadi.
Sebelum ini, akhbar melaporkan seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM dilaporkan direkodkan meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta, antara 2020 hingga tahun lalu.
Ia melibatkan 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak, 1,856 (pegawai perubatan tetap), 3,846 (pegawai perubatan kontrak) dan 1,217 pakar perubatan.
Salah satu puncanya ialah mereka beralih ke sektor swasta termasuk berhijrah ke Singapura.
Gaji doktor pelatih di Singapura anggaran bermula SGD$5,000 (RM16,495) manakala gaji permulaan jururawat pula SGD$4,400 (RM14,432).













