DR. ANNE bersama deretan anugerah yang berjaya diraihnya sepanjang menceburi bidang bisnes kecantikan dan membangunkan jenama Dr. Anne Skincare.

‘Inilah lambang perjuangan sebenar saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM melangkah dalam dunia perniagaan yang diceburinya kini, wanita ini pernah memiliki kerjaya hebat sebagai pensyarah kanan dan penyelidik di sebuah universiti tempatan.

Namun, demi memberi tumpuan kepada anak keduanya, Luqman Al-Hakim Mohd. Shafiruz yang menghadapi masalah lambat pertuturan (speech delay) dan trauma dengan pengasuhan, dia nekad melepaskan jawatan yang dicintainya.

Sambil mengurus anak di rumah, ibu kepada tiga cahaya mata bernama Dr. Nurhidayah Roslan ini mula mencari solusi untuk masalah ekzema kulitnya sendiri, lalu menghasilkan produk penjagaan kulit berdasarkan kajian dan formulasi sendiri.

Bermula dengan eksperimen untuk kegunaan peribadi, produk-produk itu kemudiannya mendapat sambutan hangat di media sosial dan lahirlah jenama Dr. Anne Skincare.

Lebih lapan tahun berada di pasaran dan memfokuskan segmen penjagaan kulit, anak kelahiran Kuantan, Pahang ini telah berjaya menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah dari dalam serta luar negara.

Antaranya, Anugerah Nona Terbaik Untuk Penjagaan Kulit; Bumiputera Business Exellence Awards 2024; pemenang tempat pertama Program Aspire Edisi Kelima anjuran Tengku Amir Shah melalui Selangor Youth Community (SAY) dan China Asean Young Leader Awards.

Terbaharu, senarai penganugerahannya bertambah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Produk Penjagaan Kulit Tempatan Pertama Yang Menggunakan Metabiotik menerusi produk Advanced Metabiotic Micro Essence.

“Saya letak jawatan sebagai pendidik pada tahun 2016 kerana ketika itu mahu fokus besarkan anak-anak.

“Setahun selepas itu barulah ‘perjalanan’ saya sebagai pengasas dan pemilik perniagaan kepada jenama Dr Anne Skincare bermula,” katanya membuka bicara bersama K-Wanita.

Tambah membanggakan, April baru-baru ini mencatat sebuah lagi sejarah bagi wanita inspirasi ramai ini dengan pembukaan ibu pejabat baharu terletak di Kajang, Selangor.

“Ia sebenarnya bukan satu kejayaan semata-mata.

“Tetapi ia menjadi lambang sebenar perjuangan saya yang pernah mengorbankan kerjaya demi keluarga sebelum membina empayar kecantikan sendiri,” katanya.

 

Tambah wanita yang mesra disapa Dr. Anne ini, jenama miliknya berkembang daripada sebuah makmal kecil kepada perniagaan berimpak tinggi yang kini memiliki kilang sendiri serta ibu pejabat tiga tingkat yang mampu menempatkan lebih 100 staf.

Jelas Dr. Anne, 41, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif DASC International Sdn. Bhd., bangunan ibu pejabat baharu tersebut bukan hanya menempatkan pejabat, tetapi juga retail shop dan spa dengan konsep rawatan holistik.

Beroperasi secara dalam talian sebelum ini, akuinya, ada keperluan yang tidak boleh dilihat melalui gambar atau perbualan telefon semata-mata.

Beritahunya, antara tarikan utama ibu pejabat tersebut adalah penggunaan teknologi moden seperti mesin analisis kulit yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).

“Mesin yang kami ada ketika ini digunakan untuk mendapatkan bacaan terperinci keadaan kulit pelanggan bagi memastikan rawatan dan produk yang disarankan benar-benar sesuai dengan keperluan kulit individu.

“Pendekatan yang kami lakukan juga bukan sekadar menjual produk, tetapi menawarkan penyelesaian menyeluruh terhadap masalah kulit pelanggan.

“Penjagaan kulit sahaja kadangkala tidak mencukupi. Kadang-kadang kulit perlu dianalisis secara fizikal.

“Mungkin ada kerosakan yang lebih mendalam, sebab itu kami juga sediakan rawatan spa khusus sebagai pelengkap kepada penyelesaian luaran,” ujarnya.

Dalam perniagaan pasti ada asam garam atau sepak terajangnya. Ia turut dilalui wanita ini terutama ketika fasa awal terlibat dalam perniagaan.

Ceritanya, detik paling tidak boleh dilupakan dan paling ‘struggle’ ialah ketika mana dia hendak memperkenalkan produk Dr. Anne Skincare di pasaran.

TENGKU AMIR SHAH (kanan) ketika meninjau dan melihat barisan produk keluaran Dr. Anne Skincare sempena pembukaan ibu pejabat baharu syarikat di Kajang, Selangor baru-baru ini. – KOLEKSI DR ANNE SKINCARE

“Ketika itu pada 2017, kebanyakan produk lokal memfokuskan kepada memutihkan kulit dan glowing sahaja.

“Saya pula fokus kepada repairing. Saya mahu membantu mereka yang ada masalah kulit seperti ekzema, kulit sensitif serta tekstur yang kasar atas faktor kesihatan dan sebagainya.

“Namun, ketika itu saya datang dengan produk yang tiada permintaan di pasaran. Saya tahu kewujudan bahan-bahan aktif seperti peptida tetapi ketika itu bahan itu tidak popular di Malaysia dan sukar didapati.

“Kebanyakan formula adalah untuk memutihkan kulit sahaja. Apabila saya approach formula yang saya hasilkan dari satu kilang ke satu kilang, sukar untuk saya dapatkan sokongan daripada pengilang,” katanya.

Berkat kesabaran dan kesungguhannya akhirnya pendekatannya diterima dan diminati.

Ditanya mengenai salah satu rangkaian produknya yang menerima pengiktirafan MBOR baru-baru ini, Dr. Anne memberitahu kurang daripada 10 jenama di seluruh dunia yang menggunakan bahan istimewa itu dalam formulasi produk mereka.

Jelasnya, metabiotik adalah satu bentuk lanjutan daripada postbiotic, hasil fermentasi bakteria baik yang membekalkan nutrien penting untuk kesihatan kulit.

“Jika postbiotic diibaratkan sebagai telur angsa, metabiotik ini umpama telur emas, maksudnya jauh lebih berharga dan berkuasa dalam memperbaiki struktur serta fungsi kulit.

“Bahan metabiotik yang digunakan dalam produk tersebut bukan sahaja membantu mengembalikan kelembapan kulit secara semula jadi, malah merangsang penghasilan faktor pelembap semula jadi (NMF) oleh kulit itu sendiri,” katanya.

Jelasnya lagi, ia berbeza daripada kebanyakan produk pelembap di pasaran yang hanya bertindak menggantikan kelembapan sementara.

“Ramai yang mengalami masalah kulit kering atau menggelupas hanya bergantung kepada krim pelembap atau ceramide.

“Namun dengan metabiotik kulit didorong untuk menyembuhkan dirinya sendiri. Ini satu pendekatan yang lebih holistik dan berkesan,” tuturnya.

Akui Dr. Anne lagi, idea untuk menghasilkan Metabiotic Micro Essence memakan masa agak lama, termasuk proses pemilihan bahan, kajian formulasi dan pengujian keserasian.

Tuturnya, walaupun bahan metabiotik dipatenkan di luar negara, beliau mengambil inisiatif membawa teknologi tersebut ke Malaysia agar rakyat tempatan dapat merasai manfaat produk bertaraf antarabangsa.

Menutup perkongsian, Dr. Anne bersyukur setelah beberapa tahun berhempas pulas berniaga, syarikat telah membantu menyelesaikan lebih 50,000 pengguna bermasalah kulit dan menjual lebih 150,000 unit rangkaian produk.

Jenama itu turut menyasarkan memperluas model rawatan ke seluruh negara melalui konsep francais agar lebih ramai pengguna khususnya wanita berpeluang mendapat manfaatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN