fbpx
Manfaat besar apabila kerajaan mengambil alih sepenuhnya penyediaan prasekolah ialah keluarga miskin tidak lagi terbeban membayar yuran bulanan ratusan ringgit.

Penjimatan besar dapat masuk prasekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Cadangan kerajaan mewajibkan pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak seawal usia lima tahun disifatkan sebagai langkah tepat dan positif dalam membentuk generasi masa depan yang lebih berkualiti.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu, penulis melihat komitmen kerajaan untuk memajukan pendidikan prasekolah sebagai perkembangan yang sangat positif.

Antara manfaat besar apabila kerajaan mengambil alih sepenuhnya penyediaan prasekolah ialah keluarga miskin tidak lagi terbeban membayar yuran bulanan ratusan ringgit.

Jika sebelum ini ibu bapa terpaksa membayar sehingga RM500 sebulan, namun selepas ia diwajibkan dan diurus kerajaan, kos itu dapat dikurangkan. Ibu bapa hanya perlu menyediakan kos pengangkutan serta kelengkapan asas anak.

Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Anuar Ahmad berkata, berdasarkan Laporan Bank Dunia 2023, kadar enrolmen prasekolah di Malaysia masih di bawah 90 peratus, sekali gus menunjukkan masih ramai kanak-kanak belum mengikuti pendidikan awal ini.

“Keadaan ini lebih ketara jika kita melihat kepada data kanak-kanak berusia lima tahun. Jika dibandingkan dengan umur enam tahun, jumlah yang belum masuk prasekolah adalah jauh lebih ramai,” katanya.

Menurutnya, dapatan Bank Dunia turut mengesyorkan agar bilangan kelas prasekolah ditambah di seluruh negara, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, di kawasan bandar, prasekolah sedia ada sering berdepan masalah kelas sesak terutama bagi keluarga berpendapatan rendah (B40) yang tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke prasekolah swasta kerana yuran yang tinggi.

Sementara itu, di kawasan luar bandar dan pedalaman, isu jarak serta kekurangan kesedaran ibu bapa menjadi faktor utama ramai kanak-kanak tidak ke prasekolah.

“Masalah ini berlaku kerana prasekolah terlalu jauh dari rumah atau ibu bapa masih beranggapan ia tidak sepenting sekolah rendah. Jadi, penambahan kelas perlu disertakan dengan usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan prasekolah wajib mampu mengurangkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar, sekali gus memastikan semua kanak-kanak mendapat akses pendidikan awal berkualiti tanpa mengira latar belakang.

Penulis optimis langkah ini akan memberi impak positif jangka panjang terhadap pembangunan modal insan negara.

Pendidikan prasekolah adalah asas penting bagi pembelajaran di peringkat seterusnya. Jika asasnya kukuh, potensi anak untuk berjaya di sekolah rendah dan menengah akan lebih tinggi.

Dapatlah difahami bahawa pelaksanaan cadangan ini akan menjadikan Malaysia setanding dengan negara maju lain yang telah lama mewajibkan pendidikan awal.

Kita sedang bergerak ke arah yang betul. Dengan perancangan rapi, pelaksanaan yang tersusun dan sokongan semua pihak, pendidikan prasekolah wajib pada usia lima tahun pasti menjadi satu kejayaan besar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN