fbpx
Mayat Kamar (gambar kecil) ditutup kain selepas dihempap dahan pokok di Jalan Kampung Batu Papan, Bera kelmarin.

‘Pandangan matanya tajam, salam pun erat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERA – “Pandangan mata dia tajam, bersalam dengan saya pun erat, seolah-olah itu salam ter­akhir dan isyarat selamat tinggal. Itu kali terakhir saya tengok wajah abang saya.”

Begitulah luahan Mohamed Zainuddin Seman, 62, adik kepada Kamar Seman, 65, warga emas yang maut dihempap dahan pokok di Jalan Kampung Batu Papan di sini kelmarin.

Mohamed Zainuddin yang juga Imam Masjid Batu Papan berkata, dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 secara bersendirian dihempap sebatang dahan pokok yang patah secara tiba-tiba.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang juga Bendahari Masjid Batu Papan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di bahagian belakang kepala.

“Sejak dua tiga hari ini, allahyarham menjadi agak pendiam, tetapi dia tidak menyangka ia menjadi petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya, sebelum keja­dian, arwah yang baru pulang dari minum teh bersama rakan se­perti kebiasaannya selepas solat asar, menunjukkan perubahan dalam kelakuannya.

“Selalunya juga kalau keluar pagi, dia akan belikan sarapan untuk kakak ipar saya, tetapi semalam dia balik tangan kosong. Isterinya, Saipan Ibrahim, 57, sendiri cakap dia rasa pelik,” katanya.

Ujarnya, arwah dikenali dalam kalangan ahli kariah sebagai seorang yang jujur, amanah dan sentiasa ringan tulang membantu kerja-kerja kebajikan masjid.

“Dia sering membersihkan kawasan dalam dan luar masjid secara sukarela tanpa mengharap­kan balasan.

“Masjid memang sentiasa bersih, itu memang hasil ‘tangan’ arwah,” katanya.

Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu Papan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Batu Papan Tengah menuju ke Kampung Batu Papan.

Katanya, setiba di lokasi, sebatang dahan pokok tiba-tiba patah dan menghempap mang­sa yang kebetulan melalui jalan tersebut dengan menunggang motosikal.

“Cuaca ketika kejadian baik, jalan kering, namun terdapat sedikit tiupan angin serta hujan renyai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN