JITRA – Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM35 juta setahun untuk menguruskan tujuh Taman Sinar Harapan (TSH) di seluruh negara yang turut menempatkan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).
Tujuh TSH tersebut adalah TSH Ridzuan Puzi, Jitra; TSH Kuala Kubu Bharu, Selangor; TSH Ziyad Zolkefli di Cheras, Selangor; TSH Tuanku Ampuan Najihah, Negeri Sembilan; TSH Tampoi dan TSH Jubli di Johor serta TSH Kuala Terengganu, Terengganu.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peruntukan kewangan itu bertujuan untuk menampung kos operasi dan penyediaan kemudahan asas di institusi tersebut.
“Ia termasuk makanan dan minuman penghuni, keperluan harian seperti pakaian, wang saku, peralatan terapi dan aktiviti penghuni, bayaran utiliti serta gaji kakitangan.
“Namun begitu, JKM boleh menerima sebarang sumbangan yang boleh disalurkan untuk kebajikan penghuni dan pembangunan institusi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, TSH menyediakan perkhidmatan jagaan merangkumi penyediaan keperluan asas seperti asrama (tempat tinggal), pakaian, makanan dan minuman, rawatan dan perubatan, wang saku serta keperluan harian berkaitan.
“Keperluan, kebajikan dan keselamatan penghuni sentiasa diberi keutamaan melalui penugasan serta pemantauan 24 jam oleh kakitangan bertugas,” ujarnya.
Sementara daripada aspek pemulihan, katanya, penilaian dan saringan awal dilaksanakan bagi menentukan jenis dan tahap ketidakupayaan penghuni sebelum intervensi bersesuaian diberikan kepada mereka.
“Pelan rawatan, pemulihan dan intervensi disediakan berdasarkan penilaian, tahap keupayaan dan kecenderungan atau minat penghuni.
“Aktiviti atau program pemulihan yang dilaksanakan adalah latihan pengurusan diri, kemahiran sosial dan komunikasi bagi memastikan penghuni mencapai tahap keupayaan yang maksimum dalam kehidupan harian,” ujarnya.
Katanya, intervensi dan pemulihan secara khusus merangkumi terapi sokongan seperti terapi anggota dan terapi cara kerja bagi meningkatkan keupayaan fizikal, kognitif dan mental penghuni.
“Melalui terapi ini, mobiliti, fungsi motor halus, kemahiran harian serta daya tumpuan serta kemahiran kognitif penghuni boleh ditingkatkan agar supaya mereka boleh berdikari dan diintegrasikan ke dalam masyarakat.
“Bagi merangsang perkembangan emosi dan sosial penghuni, aktiviti sukan ringan, muzik, seni dan terapi sensori seperti penggunaan bilik Snoezelen turut dijalankan,” katanya.
















